"Kami akan perlihatkan kepada mereka tanda-tanda kekuasaan Kami di merata-rata tempat (dalam alam yang terbentang luas ini) dan pada diri mereka sendiri, sehingga ternyata jelas kepada mereka bahawa Al-Quran adalah benar. Belumkah ternyata kepada mereka kebenaran itu dan belumkah cukup (bagi mereka) bahawa Tuhanmu mengetahui dan menyaksikan tiap-tiap sesuatu?"(Surah Fussilat:53)

Followers

Makluman untuk pengunjung blog

Sila layari blog ini dengan menggunakan perisian Mozilla Firefox dan Internet Explorer Versi 7 dan ke atas untuk paparan terbaik. Blog ini tidak sesuai dilayari menggunakan Internet Explorer Versi 6 dan ke bawah.

~Harap Maklum~

Pautan Ulama' Habaib

Laman Rasmi Majlis Pembacaan Kutub Sittah Bersama Masyaikh Al-Azhar

Tribute To Shaikh Abdul Fattah Abu Ghuddah

ISIUKM: Ikatan Studi Islam UKM

PKAP UKM: Persatuan Kebajikan Anak Pahang

Semakan Halal JAKIM: Barkod Produk

Tuesday, January 12, 2010

Jerat Hiburan di kalangan umat islam di Malaysia

Bismillah..

Segala puji bagi Allah,yang Maha Suci daripada segala sifat kekurangan dan kelemahan. Tiadalah Allah itu berbilang-bilang seperti mana yang difahami oleh penganut kristian yang ber'aqidah songsang lagi kufur.Allah tidak ada sekutu bagi-Nya dan tiada sesuatu pun yang menyamai dan menyerupai-Nya. Selawat dan salam ke atas sebaik-baik makhluk yang merupakan utusan Allah dalam membawa risalah-Nya kepada seluruh umat manusia.Manhaj agama yang dibawa oleh baginda rasul yang mulia adalah sesuai untuk setiap masa dan tempat yang menjanjikan kejayaan hakiki di akhirat bagi sesiapa yang redha bahawa islam adalah agamanya yang perlu dipertahankan, lebih -lebih lagi perkara yang melibatkan 'aqidah, perkara pokok yang berperanan sebagai pasak dan tunjang dalam agama islam yang diredhai oleh-Nya. Selawat dan salam juga ke atas ahli keluarga keluarga baginda,para sahabat baginda,tabi'in, tabi' tabi'in serta golongan yang mempertahankan islam sehingga ke hari kiamat.Moga-moga Allah meredhai akan hamba-hamba-Nya yang mempertahankan islam walaupun niat yang terjana adalah sebesar-besar zarah.

Sebelum saya memfokuskan kepada bicara saya pada kali ini,saya ingin menyorot perhatian pembaca blog yang dihormati tentang isu kalimah Allah yang menjadi isu yang kritikal dan perlu diperjelaskan dengan benar kepada umat islam agar tidak timbul kekeliruan yang berpanjangan.Berhubung isu kebenaran yang diberikan oleh mahkamah kepada pihak gereja katolik bagi penggunaan nama Allah untuk penerbitan Kristian di Malaysia yang semakin panas dalam perkembangan semasa pada hari ini, kita doakan semoga Allah memberikan kemenangan kepada umat islam. Keputusan mahkamah itu dikatakan dipengaruhi oleh hujah pihak gereja katolik mengenai sikap umat islam di negara ini yang lebih suka menggunakan perkataan 'Tuhan' daripada menggunakan nama 'Allah' dan juga hujah bahawa Allah dirujuk sebagai tuhan sekalian alam iaitu juga tuhan dalam kristian. Mulai hari ini, kita sebutlah Allah, jangan rujuk dengan perkataan Tuhan, kerana kita sedia maklum bahawa Allah itu Tuhan Yang Maha Esa. Kita doakan semoga keputusan rayuan melalui proses mahkamah nanti akan memihak kepada umat islam. Tiada tuhan yang disembah melainkan Allah, Allah Yang Maha Esa, bukan tiga dan tidak pernah menjadi tiga. Tiga itu bukan satu, doktrin bahawa tiga itu hanya terkandung dalam agama pagan.

Isu kalimah Allah ini adalah isu 'Aqidah dan kedaulatan Islam. Ia lebih besar daripada isu politik. Perbezaan ideologi politik tidak harus membutakan hati nurani kita daripada mengenali kebenaran. Isu penggunaan nama Allah oleh bukan Islam ini melambangkan betapa seriusnya fenomena kehilangan adab di kalangan umat Islam. Setelah umat Islam bingung, keliru dan hilang pedoman maka dengan mudah faham-faham asing seperti sekularisme, liberalisme, pragmatisme, sinkretisme, pluralisme agama, neo-sofisme, saintisme,dan lain-lain memasuki relung fikiran dan jiwa umat Islam. Faham-faham ini apabila telah merasuk diri sebahagian umat Islam akan menyebabkan mereka hilang keyakinan terhadap kebenaran Islam, skeptis terhadap Islam, merendahkan dan curiga terhadap para ulama’, bahkan tidak jarang juga yang memilih untuk menjadi ateis, agnotis atau murtad. Di sinilah tragedi bermula dan semuanya berpunca daripada kegagalan kita bersikap adil dan beradab terhadap Allah, agama-Nya dan diri kita sendiri.Fikir-fikirkanlah....

Renung-renungkanlah kata-kata ulama kita yang mulia, Dr Haron Din Hafizahullah, moga kita sama-sama dapat menyumbang kepada usaha untuk mempertahankan isu 'aqidah yang merupakan perkara pokok dalam islam.Bersatulah wahai umat islam dalam kesatuan 'aqidah yang benar lagi suci.Janganlah gadaikan maruah agama dengan membenarkan pihak kristian menggunakan kalimah Allah dengan sewenang-wenangnya.Isu ini juga telah dijelaskan melalui keputusan muzakarah Fatwa Majlis Kebangsaan 2008.



Tidak perlu saya terangkan secara terperinci mengenai isu hiburan ini,saya merasakan bahawa pembaca blog semua sudah sedia maklum akan budaya masyarakat moden kita yang terlalu bersungguh ingin menjadi artis untuk mengejar populariti di dunia hiburan. Ia adalah program realiti yang menjauhkan kita daripada realiti. Ia adalah mind repositioning method.

Saya tidak mahu menyampaikan kepada anda mengenai kisah artis popular atau berapa ramai yang mahu menyertai Akademi Fantasia, One In a million, atau idol-idol yang lain. Dalam topik yang ingin saya nyatakan ini, saya mahu kita faham mengenai realiti kerosakan iman secara besar-besaran yang berlaku di sebalik projek hiburan realiti ini. Tenaga yang terhasil daripada kelakuan manusia akibat terlalu lalai disebabkan hiburan realiti ini dikhuatiri akan membawa kepada satu malapetaka besar di kalangan umat islam sendiri. Adalah lebih baik jika kita menjauhi perkara yang ditegah dan sentiasa berwaspada daripada terjebak ke dalam jerat Dajjal dan pengikut-pengikutnya.

Hiburan realiti adalah sebahagian daripada program mind control yang beroperasi dengan jayanya di sekitar budaya masyarakat seluruh dunia, masyarakat Malaysia dan Melayu Islam juga turut sama terperangkap dalam program janakuasa seperti wind mill kelolaan CEO (chief executive officer) serta COO (chief operational officer) yang dilantik Dajjal ini. Ia adalah salah satu daripada ratusan projek-projek masterpiece yang sedang, akan dan terus beroperasi secara teratur di serata dunia. Hiburan realiti ini menyebabkan manusia (termasuk umat Islam) menjadi leka sehingga satu persatu maruah orang Islam di negara maju dan negara membangun direnggut serta dirampas malah dipijak dengan mudah, mudahnya seperti merampas botol susu daripada seorang bayi kehausan yang hanya mampu menangis dan terus menangis tanpa mampu menuntut haknya kembali.

Kalau kita jadi hamba Allah Yang Maha Esa yang terhormat dan terpuji, itu satu penghormatan dan satu kemuliaan,tetapi kalau jadi hamba terhormat dalam golongan hamba-hamba Dajjal dan hamba Yahudi, kemuliaan jenis apakah yang kita dapat? Mulia di sisi Dajjal?Saya berlindung daripada kemurkaan-Nya..

Jangan pandang ke arah Eropah dan Amerika, pandanglah situasi di negara kita sendiri.
Perhatikan, sejak negara kita diledak dengan budaya hiburan realiti, apa perkembangan budaya yang berlaku kepada masyarakat kita? Boleh dikatakan 8 daripada 10 orang remaja lebih gemar budaya glamour, termasuk mahu memakai fesyen glamour, rambut juga glamour, gaya juga glamour, hilang identiti sebagai seorang Muslim kerana lebih gemar dengan identiti hamba Yahudi yang tampak glamour.

Malah, setiap kali ada persembahan hiburan di tempat terbuka, jumlah orang yang hadir termasuk makcik-makcik, anak-anak, cucu-cucu, malah yang masih bayi juga dibawa bersama, menjadikan jumlah yang hadir ke acara hiburan adalah jauh lebih ramai jika dibandingkan dengan jumlah jemaah di Masjid Negara. Kesannya, wujud satu situasi tidak seimbang yang memberi kemenangan kepada Dajjal untuk menguasai manusia sebagai angkatan tenteranya.

Bahkan, ada juga daripada kita yang memberi sokongan kepada anak-anak untuk menyertai program realiti hiburan. Sanggup berhabis wang kerana mahu anak jadi glamour. Tindakan itu hanya merosakkan anak sendiri, meletakkan hiburan jauh lebih tinggi daripada keperluan menyediakan ilmu yang berguna kepada anak-anak. Apa sudah jadi?

Juga perhatikan, berapa ramai daripada kita akan terpacul di hadapan TV setiap kali ada program hiburan realiti seperti Akademi Fantasia (fantasi glamour ciptaan Dajjal), Sehati Berdansa (berselindung di sebalik slogan membantu badan kebajikan) dan lain-lain seumpamanya yang ditayang di TV, kita membayar wang untuk menonton rancangan hiburan, mengundi SMS dan pada masa yang sama mengabaikan tuntutan ibadat, wang kita habis, apa yang kita dapat? Undi SMS melibatkan wang dan merugikan, kita pula tak dapat apa-apa pun. Tetapi pernahkah kita terfikir bahawa ‘undi’ syafaat daripada Nabi Muhammad untuk menyelamatkan kita daripada dijilat api neraka pada hari pembalasan itu jauh lebih penting?

Kitalah yang menggerakkan sistem hiburan realiti ini, kita menggerakkannya melalui sokongan kita, melalui bil TV yang kita bayar, melalui undi SMS yang kita hantar dan kita hanya mendapat kerugian. Dalam tidak sedar, semua perbuatan itu memberi kejayaan kepada Dajjal. Menjadi hamba Dajjal yang menggerakkan segala perancangannya. Kita bekerja dalam program masterpiece ini sebagai hamba untuk Dajjal.

Modul hiburan ini kemudian menjangkiti banyak negara sehingga menjadikan masyarakat lalai, lupa kepada tujuan asal mereka diciptakan.
Inilah mind control yang berjalan lancar, paling berjaya dalam lapangan hiburan. Masalah seks bebas makin bercambah, kesan daripada budaya glamour yang diserapkan secara teratur dalam budaya masyarakat. Jika anda kerap memantau jumlah tangkapan khalwat dan maksiat yang dilakukan jabatan-jabatan agama Islam di seluruh negara, anda akan dapati jumlah tangkapan pasangan yang melakukan maksiat selepas selesai acara hiburan adalah jauh lebih tinggi daripada hari-hari biasa. Cuba anda tanya kepada pegawai-pegawai di jabatan-jabatan agama Islam, berapa ramai pasangan yang mereka tangkap setiap kali selesai acara Jom Heboh, konsert Akademi Fantasia dan sebagainya. Program hiburan seperti itu hanya menjadikan masyarakat kita lebih rosak. Malah dalam tempoh 5 atau 10 tahun akan datang, tidak mustahil umat Islam terutama remaja yang cintakan hiburan akan terus lupa kepada identiti mereka. Untuk melemahkan sesuatu bangsa, identiti bangsa itu harus dimusnahkan. Masyarakat kita sedang melalui situasi ini. Inilah realiti di sebalik kesan bawaan hiburan realiti.

Wahai wanita, Nabi Muhammad dalam wasiat baginda meletakkan anda sebagai aspek paling penting untuk dijaga. Jangan terlalu cintakan hiburan dan menganut identiti Yahudi sehingga berpakaian menjolok mata, jagalah maruah anda.

Wahai lelaki, jagalah wanita, jangan rosakkan mereka dan jagalah maruah mereka kerana Nabi Muhammad juga mewasiatkan kepada kita supaya menjaga wanita. Semua wasiat Rasulullah akan mampu kita taat sekiranya kita tidak menjadikan hiburan itu jauh lebih atas daripada agama.

Ini kerana, kegagalan kita dalam menjaga aspek ini disebabkan termakan godaan musuh islam melalui medium hiburan akan mendatangkan situasi yang tidak seimbang, dan seterusnya memberi kemenangan kepada musuh islam untuk menjadikan kita sebagai angkatan tenteranya. Musuh islam tidak pernah berehat daripada menjayakan usahanya ini, jika musuh islam tidak pernah berehat, kita juga tidak patut berehat kerana musuh kita tidak pernah mengenal letih.

Wallahu musta'an.

Ibn Barudin
Siber Perpustakaan Tun Seri Lanang
UKM Bangi

Friday, January 8, 2010

Leraikan percanggahan kaedah dakwah di kalangan jema'ah islam di Malaysia

Bismillah..

Segala puji bagi Allah,tuhan sekalian alam.Selawat dan salam ke atas junjungan besar rasulullah s.a.w, ahli keluarga baginda,para sahabat, tabi'in, tabi' tabi'in dan golongan yang sentiasa memperjuangkan islam sehingga ke hari kiamat.

Untuk mengetahui di mana kekuatan dan kelemahan umat Islam di Malaysia khasnya umat Melayu,kita kena mengkaji keseluruhan senario yang terjadi di sini.Ini penting sebelum siapa-siapa yang ingin mengaku pejuang Islam atau mahu memperjuangkan agama berangkat mahu ke medan perang.Jika tidak,para pejuang ini akan mati akibat tertusuk pedang rakan sendiri,atau mati terkena peluru sesat atau lari dari medan perang akibat terkeliru atau mengelirukan diri sendiri.

Untuk tujuan muhasabah diri dan menyusun strategi,kita kena jujur.Fikiran kena terbuka dan positif.

BACA SAMPAI HABIS SEBELUM MEMBERIKAN KOMENTAR DAN ULASAN

Kita kena hindarkan diri menjadi seperti sesetengah orang dalam Jemaah Tabligh menganggap saudara dalam Pas berada dalam jalan tidak betul kerana bergelumang dengan politik.Saudara-saudara yang keliru itu kena sedar,dari sejak mula jemaah ini bertapak di Malaysia sehingga kini berapa peratuskah usaha itu dapat menggerakkan sekurang-kurangnya hukum Qisas ditegakkan dalam perundangan Malaysia?Dakwah itu penting,namun politik itu juga penting sebab itu nabi Muhammad s.a.w terpaksa berhijrah ke Madinah untuk MENUBUHKAN NEGARA ISLAM kerana politiklah dapat membawa hukum Allah s.w.t ke dalam sistem perundangan.

Dan kita jangan menjadi sesetengah orang dalam Pas yang memandang hina jemaah Tabligh.Apabila jemaah ini datang ke masjid atau surau,ada saudara dalam Pas sendiri yang menghalau mereka,padahal mereka ingin berziarah dan menyenangkan usaha saudara dalam Pas untuk memahamkan masyarakat tentang agama.Mengapa dalam kepala mereka penuh pandangan negatif tentang usaha dakwah.Sesetengah saudara dalam Pas terlalu asyik berpolitik sehingga lupa akan tujuan sebenar mereka membawa politik Islam.Mereka ingin tegakkan hukum Allah tetapi majoriti umat Islam tidak faham Islam,bagaimana mereka mahu menegakkan politik Islam?Mereka telah membuat kerja yang menyusahkan diri sendiri.Mereka MUNGKIN BERJAYA TETAPI MENGAMBIL MASA YANG AMAT LAMBAT DAN MEMAKAN KORBAN YANG BUKAN SEDIKIT.Bukankah mudah jika Pas datang kepada orang yang faham kalimah "Lailahaillallah' lantas menerangkan tentang konsep kenegaraan Islam,agak-agak adakah orang tadi bersetuju atau tidak?

Kita kena faham senario.Jangan duduk di dalam tempurung ego sendiri.Jangan buta dan taksub semata.

Di dalam medan peperangan ini terdapat berbagai-bagai ragam manusia.Berbagai-bagai pemainnya.Terdapat golongan Islam Liberal,Sekular,Materialis,Kauvinis,Sosialis serta Non-Muslim.Di sana juga berkeliaran para Orientalis,Konspirator dan pejuang agama lain.Mereka ini ada yang menubuhkan NGO-NGO,pertubuhan sehingga ada yang mempunyai parti politik sendiri.Organisasi mereka mempunyai dua cabang;politik dan propaganda.Dalam istilah Islamik,organisasi mereka mempunyai bahagian siasah dan usaha dakwah.Bahagian politik mereka digunakan untuk berjuang meminda undang-undang yang memberi kelebihan kepada Islam kepada undang-undang yang menafikan hak Islam dan memberi kelebihan pula kepada mereka.Bahagian politik mereka juga digunakan untuk menghapuskan undang-undang syariah dan berusaha menghapuskan identiti Islam.Contoh,menghapuskan tulisan jawi/arab dan kod pakaian menutup aurat.Mereka berusaha menghapuskan syiar-syiar Islam seperti azan dengan pelbagai alasan,selalunya menyentuh hak asasi manusia.TUJUAN TERAGUNG BAHAGIAN POLITIK MEREKA ADALAH UNTUK MENGAMBILALIH PEMERINTAHAN MALAYSIA DARI TANGAN ORANG ISLAM.Jadi semua orang yang ingin mengaku pejuang Islam kena ingat baik-baik masalah ini.Kena FIKIR DAN RISAU masalah ini bersama disamping fikir dan risau yang lain.

Bahagian usaha dakwah mereka pula (propaganda) merangkumi NGO-NGO dan media.Mereka selalu mengadakan seminar,forum,bengkel dan ceramah yang selalunya ditutup dengan nama hak asasi dan keadilan.Ini belum lagi masuk topik usaha dakwah dari mubaligh agama.Lagi bermacam-macam usaha dakwah mereka.Kaji bagaimana usaha mubaligh Kristian di Sabah dan Sarawak.Antara mangsa yang menjadi pencacai mereka adalah golongan Islam Liberal.Golongan ini menjadi kuli untuk menyebarkan dakwah memburuk-burukkan sistem Islam dan undang-undangnya.Mereka sanggup menulis artikel memburuk-burukkan Rasulullah s.a.w dan undang-undang Syariah.Antara usaha terhebat mereka setakat ini adalah mengadakan seminar Inter-religious Faith.Luarannya mereka mengatakan ingin mencari titik temu dalam agama-agama tetapi sebenarnya titik temu itu dicari dengan menghancurleburkan agama Islam.Saudara dalam Pas,Umno dan PKR kena faham masalah ini jika masih teringin untuk menghidu bau syurga Allah.

Ingat,Allah Azza wa Jalla tidak rugi apa-apa jika hukum-Nya tidak ditegakkan.Yang rugi adalah kita.Kita mungkin selamat di dunia,tetapi di akhirat...

Model negara Islam Madinah terdiri dari bahagian Politik dan bahagian Usaha Dakwah.Politik digunakan untuk melindungi maruah orang Islam,perundangan Islam dan syiar-syiarnya.Manakala Usaha Dakwah adalah untuk mentarbiah dan menyebarkan ajaran Islam disamping mengekalkan penghayatan Islam dalam diri semua orang Islam.Pejuang Islam yang meninggalkan salah satu dari dua konsep ini,akan menghadapi kesusahan yang dasyat.Kepayahan yang berat dan silap haribulan,akan sesat dalam perjuangan dan terkeliru.

Ingat,Rasulullah s.a.w mampu menghantar keluar dua jemaah;satu jemaah keluar di jalan Allah untuk berdakwah.Dan satu lagi jemaah keluar di jalan Allah untuk berperang mempertahankan maruah agama.

Sistem Islam sesuai untuk setiap masa dan keadaan.Hanya sesetengah orang Islam sendiri yang tidak yakin.

Kita lihat senario umat Islam di Malaysia.Secara jujur,politik Islam khasnya Melayu dipegang oleh UMNO.Umno umumnya terdiri daripada orang-orang Melayu beragama Islam.Ketika peralihan kuasa antara kerajaan British dan pemimpin Umno,British segera mengadakan usaha untuk menetapkan perundangan Malaysia berdasarkan perundangan sekular.Pemimpin Umno dan majoriti orang Melayu menerima kerana kita kena faham bahawa yang penting dalam kepala mereka adalah MERDEKA.Soal perundangan perkara kedua,padahal inilah racun yang mahu disimpan oleh British.Kita juga kena maklum setelah sekian lama khilafah Islam tumbang, fiqh kenegaraan Islam telah dilupakan oleh ramai umat Islam.Begitu juga orang-orang Melayu yang sekian lama dijajah sudah tentu tiada pengetahuan atau pengalaman dalam menjalankan undang-undang Islam.Apatah lagi para pemimpin Umno ini yang majoritinya mendapat pendidikan Barat.Sudah tentu mereka tidak faham atau tidak tahu-menahu langsung tentang konsep negara Islam.Namun sesetengah orang Islam yang faham terutamanya golongan ulama bangkit untuk menegakkan undang-undang Islam.

Maka lahirlah PAS.

Ketika itu jemaah Tabligh pun masih kecil atau mungkin tiada langsung dalam kamus orang-orang Melayu.

Jadi kita kena faham senario ini.Umno terdiri dari orang-orang Islam yang tidak faham atau tiada pengetahuan tentang konsep kenegaraan Islam.Pas terdiri dari ulama-ulama yang faham tentang konsep kenegaraan Islam.Jadi antara cadangan untuk menyelesaikan masalah ini ialah PAS KENA BAGI FAHAM KEPADA UMNO TENTANG KONSEP KENEGARAAN ISLAM.Bukan menjauhi mereka atau memakihamun mereka.Kesian Umno,sudahlah buta dan pekak,kemudian dimarahi dan dimakihamun pula.Makin jauhlah mereka dari kefahaman Islam.

Umno
umumnya menganut politik sekular.Sekular ialah satu faham yang memisahkan agama dari politik.Maksudnya tiada undang-undang Islam.

Jadi Pas kena pujuk saudara dalam Umno untuk masukkan agama dalam politik.Biar politik yang kotor itu dicuci dengan kemuliaan agama.Kena sabar memimpin saudara dalam Umno yang dibutakan penjajah.Umno ibarat orang buta.Pas kena pimpin.Bukan memakihamun Umno yang teraba-raba tadi.

Dalam hal ini,siasah Pas kena bijak.Kemahiran komunikasi atau 'public relation' Pas kena berhikmah.Kena yakinkan bahawa dengan amalkan Islam tidak akan memiskinkan pemimpin Umno.Islam tidak tarik banglo dan Mercedes mereka.Malah Allah s.w.t akan tambah keberkatan pada harta mereka kerana mereka melaksanakan Islam dalam politik.

Di dalam Islam yang diamalkan oleh orang-orang Islam Malaysia khasnya umat Melayu juga cuba dipecahbelahkan oleh anasir-anasir luar.Inilah strategi yang digunakan orientalis untuk mewujudkan firqah-firqah dalam organisasi Islam.Untuk memecahkan umat Islam dalam persoalan akidah amat sukar tetapi dalam perkara cabang memang bukan perkara mustahil.Kebanyakan umat Islam berbalah sesama sendiri bukan pada persoalan besar seperti kerasulan nabi Muhammad tetapi perkara-perkara remeh temeh seperti baca Yassin pada khamis malam jumaat atau sambutan maulidurrasul.Perbalahan ini menjadi besar sehingga sanggup berbunuhan sesama sendiri seperti di luar negara.Ini belum lagi dengan fahaman Syiah.Kita sudah maklum bahawa Syiah ini memang sesat kerana kesalahan mereka mengedit hukum agama mengikut sesuka hati mereka serta menambah-nambah hadis ciptaan sendiri.Yang bagusnya,umat Islam di Malaysia tidak cepat terpengaruh dengan Syiah,tidak seperti umat Islam di negara-negara lain.

Ulama Melayu mengadakan majlis bacaan Yassin itu hanyalah KAEDAH DAKWAH mereka untuk menarik orang kampung datang ke surau dan masjid.Biasanya selepas bacaan Yassin,orang kampung akan dijamu dengan jamuan kecil.Bukankah ini akan melembutkan hati mereka supaya dekat pada agama?Ini sama seperti ulama India atau Urdu yang mengadakan majlis Tasykil atau Bayan dan selepas itu ada majlis makan-makan.Setiap ulama di negara masing-masing ada kaedah dakwah mereka yang tertentu.

Dalam seminggu orang kampung tidak buka AlQuran,sekurang-kurangnya malam jumaat mereka buka kitab,baca Yassin.Ini adalah kaedah dakwah ulama-ulama Nusantara.Tidak perlu bertegang leher keluarkan dalil-dalil dan hujah.Memang tiada hadis nabi yang suruh baca Yassin malam jumaat.

Tidak ada salahnya mengadakan majlis baca Yassin.Haramkah?Sampai menuduh orang lain sesat.Yang salah ialah mengatakan ada hadis yang suruh buat majlis baca Yassin.

Jangan keliru.Ini hanyalah KAEDAH DAKWAH.Kaedah dakwah yang sudah bersebati dengan jiwa umat Islam Nusantara sehingga menjadi amalan.Bayangkan,ulama nusantara berjaya mendakwahkan orang Melayu supaya membaca AlQuran sekurang-kurangnya seminggu sekali.

Ini samalah seperti orang yang bertekak dan bertegang leher mengatakan sambutan maulidurrasul adalah bida'ah dan sesat.Ada yang mengatakan ia amalan Syiah.Orang yang berkata seperti ini biasanya orang yang mengikuti jemaah-jemaah luar negara seperti dari Arab.Orang seperti ini ada di antaranya tinggi ilmu agamanya dan menghafal hadis-hadis.Ada yang mengaku menganut ajaran Salafussoleh dan jalan nabi Muhammad s.a.w yang suci dari perkara yang diada-adakan.

Tinggi ilmu tetapi kurang kepekaan.

Perkara-perkara kecil seperti itu tidak perlu diperdebatkan malah Islam melarang penganutnya memperdebat hal-hal agama.Kita lihat dahulu bagaimana sambutan Maulidurrasul yang umum.Pada hari kelahiran Nabi itu biasanya surau-surau dan masjid akan mengambil inisiatif mengadakan majlis memperingati sirah nabi.Majlis akan diisi dengan ceramah atau forum agama.Selepas itu diadakan majlis jamuan.Bukankah ini sesuatu yang baik?Mengajak orang mengingati Rasulullah s.a.w?Perarakan Maulidurrasul adalah perkara yang lain.Itu konteks yang lain.Perkara yang ingin difokuskan di sini adakah mengadakan majlis ilmu di hari kebesaran Nabi adakah buruk dan sesat dalam agama?

Jangan keliru.Yang salah ialah mengatakan ada hadis menyuruh Maulidurrasul diadakan.Memang tiada hadis atau dalil yang kuat tentang sambutan Maulidurrasul.Ini hanyalah KAEDAH DAKWAH untuk mengajak umat Nusantara kasih akan Nabi.Salahkah?

Bagi mereka faham bahawa di dalam Islam terdapat empat sumber hukum,bukan semata-mata AlQuran dan Hadis,

1-AlQuran
2-Hadis
3-Qias
4-Ijtihad Ulama

Contohnya untuk menggubal undang-undang Siber,para pengamal undang-undang Islam tidak hanya bergantung pada AlQuran dan Hadis tetapi Qias dan Ijtihad juga kerana komputer tiada di zaman Nabi dan Sahabat.Ini misalan yang mudah.Dalam kes lain ada ulama yang melarang lampu elektrik dipasang di dalam masjid kerana berdasarkan Qias/Ijtihad yang salah (masjid nabi dahulu tiada elektrik,jadi kita tidak boleh ada lampu elektrik kononnya).

Ulama India/Pakistan bila datang Malaysia terkejut bila ada majlis baca Yassin malam jumaat.Ulama Malaysia pula terkejut terdengar istilah gasyh,karkuzari,tasykil dan bayan bila bertemu ulama Urdu di mana di zaman nabi malah hadis-hadis tiada pula terdengar perkataan-perkataan itu.Ulama Arab merasa pelik dengan takbir Hari Raya di sini yang mendayu-dayu padahal ulama Nusantara tahu takbir di Tanah Arab bernada keras atau monotone. JIka kedua-dua mereka mengambil sikap dungu dan kurang matang,mereka akan berdebat hal-hal yang remeh-temeh ini,sehingga bermasam-masam muka dan menuduh sesat antara satu-sama lain.Jika mereka saling faham memahami dan bersikap matang,mereka akan faham betapa di lain tempat,lain KAEDAH DAKWAH yang diusahakan.Lain padang,lain belalang.Semuanya adalah semata-mata untuk mengajak manusia ke jalan Allah s.w.t.

Kata kuncinya ialah KAEDAH DAKWAH.

Sebab itu tidak perlu memperdebatkan mengapa jemaah Tabligh keluar berdakwah berdasarkan masa-masa tertentu seperti 1 hari setengah,3 hari,40 hari atau 4 bulan kerana memang tiada dalil khusus untuk itu,ini hanyalah KAEDAH DAKWAH dari ulama Nizamuddin di India untuk memudahkan orang keluar berdakwah berdasarkan keperluan masing-masing.Jika perkara ini kita masih tidak faham maka makin senanglah orientalis mencucuk-cucuk jarumnya melebarkan lagi perpecahan sesama kita.Dan kita tidak semestinya hanya menunggu semua perkara tentang Islam ini datang dari Arab.Jika KAEDAH DAKWAH itu baik dan sesuai di sini maka apa salahnya kita amalkan.Bukankah ziarah-menziarahi sambil menceritakan kebesaran Allah itu adalah sesuatu yang baik dan mulia.

Setiap orang yang mengaku berjuang atas agama perlu faham senario keseluruhan sebelum pergi berperang.Tanpa kefahaman yang jelas,mereka akan keliru dan dikelirukan.Orang yang berjuang di dalam jemaah Tabligh tidak boleh terkongkong dalam jemaahnya sahaja tanpa perlu mengikuti politik Malaysia dan dunia.Orang yang berjuang dalam Pas perlu tahu sepak terajang musuh-musuh Allah supaya tahu siapa kawan siapa lawan.Saudara-saudara dalam Umno kena ambil inisiatif belajar agama disamping memahami siapa yang mahu terus menyesatkan Umno supaya jauh dari agama sendiri.Di dunia mungkin kita lepas tetapi di akhirat...fikirkan.

Orang ramai hatta orang Islam sendiri tidak akan menyokong konsep negara Islam jika mereka tidak dijelaskan dengan baik apakah itu hukum Islam.

Orang bukan Islam tidak menjadi masalah.Mereka masih minoriti.Jika orang Islam khasnya orang Melayu tidak yakin dengan agama sendiri,bagaimana orang bukan Islam mahu yakin dengan undang-undang Islam?Jadi masalah di sini adalah orang Melayu khasnya para pengundi Umno/BN.

Ingat,walaupun demokrasi penuh tipu muslihat,namun kita boleh memanipulasinya sekadar yang mampu.Katakan kita boleh pakai prinsipnya yang paling mudah,iaitu suara ramai.

Bagaimana jika dalam 10 orang,seorang sahaja yang faham kalimah 'LAILAHAILLALLAH' dan yang lain tidak?Jika 'bermain' demokrasi,adakah yang seorang itu akan menang?TIDAK SAMA SEKALI.Sebab itu jika 9 orang tadi adalah orang-orang yang bodoh,maka negara akan diperintah oleh orang-orang yang bodoh dan undang-undang yang bodoh.Itulah demokrasi.

Maka tugas sebenar Pas ialah memasukkan kalimah 'LAILAHAILLALLAH' kepada hati semua umat Islam khususnya para pengundi Umno yang masih khayal dengan racun penjajah.MANA DIA USRAH-USRAH PAS??

Kemana perginya?Inilah balasan Tuhan kerana meninggalkan kerja dakwah.Ingat,dakwah dan politik perlu bergerak seiring,baru menepati kaedah nabi yang mendirikan negara Islam Madinah.Kerana terlalu berpolitiklah orang-orang agama terperangkap dalam permainan musuh-musuh Allah.

Pas tidak perlu dibubar dan menjadi Jemaah Tabligh.Pas tetap berperanan sebagai 'political axis' dalam agenda Islam,namun perlu ada hubungan dengan orang yang menjalankan kerja-kerja dakwah seperti Jemaah Tabligh jika masih terkial-kial dengan program usrah yang segan hidup mati tak mahu.Dua entiti ini kena bergerak serentak.Orang dalam Tabligh tidak boleh perlecehkan Pas.Pas tidak boleh perlecehkan Tabligh.

Jika seluruh pengundi Umno/BN iaitu yang majoritinya orang Melayu/Islam dapat dimasukkan kalimah 'LAILAHAILLALLAH' yang menjadi hak mereka yang hilang akibat racun penjajah,ke dalam hati mereka,nescaya tanpa perlu ceramah Pas yang berapi-api,mereka akan berbondong-bondong masuk ke dalam sistem Allah.

Pas perlu kuat dalam siasah mereka.Para pemimpin mereka perlu belajar ilmu siasah politik.Atau SAINS POLITIK.Ulama yang memegang amanah politik lain cabarannya dengan ustaz yang mengajar kitab-kitab di surau-surau.Pas perlu mengkaji senario politik global.Belajar apa itu Freemason dan Illuminati.DAN PROKSI-PROKSI MEREKA DI SINI.Pas kena keluar dari politik Malaysia yang sempit kepada lebih berwaspada dengan politik global.Inilah cabaran yang sebenar.Jika ini dapat dicapai,Pas akan dapat melihat siapa lawan siapa kawan.

Hak saudara seagama dalam Umno perlu ditunaikan.Jangan marah dan memakihamun mereka.Dekati mereka dan nasihatilah dengan hikmah.Mungkin hanya Jemaah Tabligh yang mampu menjadi orang tengah.Mampu mendekati saudara seagama dalam Umno,melembutkan hati mereka dan sedar bahawa ABANG YANG MEMARAHI ADIK TADI TIDAK SANGGUP MEMBIARKAN ADIKNYA SENDIRI TERBAKAR DALAM JAHANNAM.

Umno ibarat saudara yang buta matanya (oleh penjajah) dan hampir-hampir memegang api dihadapannya.Pas nampak,tetapi caranya kasar,ia menepis sehingga menyakiti Umno.walaupun niat Pas baik,namun Umno semakin benci dengan Pas kerana mengasarinya namun Umno tidak sedar,jika dia tidak ditepis oleh Pas,pasti tangannya terbakar.Dalam hal ini Pas mesti berubah cara atau pendekatan dakwahnya atau dia perlukan pertolongan adik beradik yang lain,yang paling baik setakat ini adalah Jemaah Tabligh bagi melembutkan hati Umno.

Percayalah,si adik perlukan abang yang penyayang dan memberikan nasihat dengan senyuman.Dan jika ini terjadi,walaupun kita disuapkan dengan racun,kita dapat mengubahnya menjadi madu yang manis,segar lagi menyihatkan.

Sekian sahaja coretan saya pada kali ini.Diharapkan mesej yang sebenar dapat disampaikan kepada anda semua. Maafkan saya atas kekhilafan kata-kata dan kegelinciran penulisan saya.Semoga Allah berikan kepada kita taufik dan hidayah agar kita sentiasa berada dalam jalan-Nya.Bersatulah wahai umat islam!!!Allahu akbar!!

~KEMBALI KEPADA MANHAJ 'AQIDAH AHLUSSUNNAH WAL JAMA"AH DAN KUKUHKANLAH KESATUAN UMMAH DI ATAS JALANNYA~

Wallahu musta'an..

Wednesday, January 6, 2010

Karya penulisan Syeikh Ahmad Al-Fathani Rahimahullah yang bercorak pemikiran sains dan teknologi

Bismillah..

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam.Selawat dan salam ke atas junjungan besar rasulullah s.a.w,ahli keluarga baginda, para sahabat,tabi'in, tabi' tabi'in dan golongan yang sentiasa menegakkan agama Allah sehingga ke hari kiamat.


Tuan Guru Haji Wan Muhammad Shaghir bin Wan 'Abdullah Rahimahullah

Pada kali ini,saya ingin memuatkan ruangan blog saya dengan hasil kajian ilmiah oleh Tuan Guru Haji Wan Muhammad Shaghir bin Wan ‘Abdullah Rahimahullah tentang ulasan seorang tokoh ulama' nusantara, Syeikh Ahmad Al-Fathani Rahimahullah berkenaan dengan pemikiran sains dan teknologi dalam hasil karya penulisan syeikh yang mulia.

Pemikiran sains dan teknologi

Pemikiran-pemikiran Sheikh Ahmad al-Fathani dalam sains dan teknologi dapat dilihat dalam beberapa karya-karya beliau.Berikut adalah petikan daripada beberapa buah kitab mengenai hal demikian, iaitu:

Petikan daripada kitab Hadiqah Al-Azhar

“Maka demikian amat-amati ahli negeri orang dengan syaan (urusan) ilmu pada negeri mereka itu, hingga masyhur bangsa mereka itu atas sekalian bangsa dengan: kepandaian, dan bijaksana, dan kepetahan dan banyak ilmu. Maka dengan demikian itulah dapat mereka itu meringkah (mencipta) buatkan beberapa alat yang manfaat pada segala manusia yang boleh musafir dengan dia kepada sejauh-jauh negeri, di dalam masa yang sedikit."

“Dan datang kepada mereka itu sekalian khabar-khabar dari sejauh-jauh jajahan di dalam beberapa lahzhah (sekelip mata, waktu yang singkat)."

“Dan me[ng]indah-indah mereka itu akan sekelian perkerjaan serta dengan lekas dan banyak. Dan bertambah-tambah demikian itu dengan berpanjangan masa."

“Dan dengan sebab baik percaraan dan muafakat antara mereka itu: serta besar hemah, dan halus tipu daya, dan jauhilah, dan dalam tilik mereka itu, yang jadi sekelian itu daripada banyak pelajaran mereka itu."

“Maka boleh mereka itu peliharakan segala negeri dan jajahan mereka itu hingga tiada tamak padanya oleh segala seteru. Dan jadi mudah bagi mereka itu mengambil akan negeri orang. Dan meliputi mereka itu dengan ahwal dunia, laut, dan darat.”

Menurut keterangan Yusoff Zaki Yaakob, kata-kata Sheikh Ahmad al-Fathani yang berbunyi, “serta besar hemah, halus tipu daya, jauhilah dan tajam tilik mereka itu”, adalah menjadi konsep politik Nik Mahmud Datuk Perdana Menteri Paduka Raja Kelantan. Kata-kata tersebut sangat banyak diucapkannya. Nik Mahmud adalah murid dan kader Sheikh Ahmad al-Fathani.

Petikan daripada manuskrip Mir-atul A’ajib

Berkata hamba, “Bagi menghampirkan segala akal. Adakah tiada engkau ketahui atau lihat bahawasanya dikurniakan kepada kuffar sekarang ini beberapa banyak ringkahan (ciptaan) yang ‘ajib-‘ajib (pelik-pelik). Hingga mereka itu sampai kepada alat yang boleh musafir di dalamnya di atas hawa (udara) yang telah maklum pada mereka itu dengan belon, atau thaiyarah, atau minthad. Kapal api yang menyelam di dalam laut serta berjalan di bawah air seperti ikan. Telegraf yang tiada berdawai (radio). Alat yang dilihatkan dengannya segala bintang amat halus yang di langit.

Alat yang memegangkan suara, bahkan Amerika sekarang ini telah sampai mereka itu dengan ikhtira’ (pencipta) mereka itu kepada menghadirkan roh orang yang tidur.

Maka ia mengkhabarkan dengan barang yang ghaib daripada ahwal orang yang telah mati. Bahkan mereka itu sampai kepada menghadirkan roh orang yang mati hingga boleh dilihatkan dia dengan mata kepala, dan bertutur (bercakap-cakap) dengan dia. Padahal ia atas rupa orang mati.

Berkata hamba, “Bahawasa yang demikian itu syaitan, ia berupa dengan rupa orang mati itu kepada mereka itu. Tetapi hasil dengan demikian itu rujuk setengah daripada Falasifah Amerika kepada membenarkan barang yang sabit di dalam agama Islam, bahawasa ada bagi roh itu hakikat. Ada bangkit di akhirat, dan lainnya daripada barang yang mengingkarkan oleh kebanyakan mereka itu agama Islam.

“Maka apabila mungkin serta telah diberi kepada kuffar umpama yang tersebut itu, adakah tiada patut dikurniakan kepada setengah-setengah ahlillah barang yang tersebut ...”

Petikan daripada manuskrip Hadiqatul Azhar

“Ketahuilah olehmu, bahawasanya ahli negeri yang besar-besar, yang lain daripada ahli pihak kita, sangat mengamat-amati mereka itu dengan syaan tawarikh. Dan bersungguh-sungguh mereka itu mengajarkan dia akan kanak-kanak mereka itu hingga yang perempuan mereka itu sekali pun. Dan berusaha mereka itu sehabis-habis usaha pada memudahkan menuntuti ilmu bagi segala orang yang gemar padanya dengan sekalian jalan dan tipu. Hingga bersungguh-sungguh mereka itu pada mengecapkan (mencetak) segala kitab yang boleh keluar beberapa banyak ribu naskhah di dalam masa yang sedikit. Sekira-kira jikalau ditulis dengan tangan di dalam masa itu niscaya belum lagi sudah satu naskhah jua.”

Petikan tersebut mempunyai kaitan dengan percetakan. Haruslah diingat bahawa zaman Sheikh Ahmad al-Fathani belum ada percetakan seperti sekarang ini.Tambahan pula sebelum aktivitinya di bidang ini, kitab-kitab Melayu/Jawi hanya berbentuk tulisan tangan. Selain itu, ia juga dalam jumlah yang sangat sedikit dan ada juga dicetak dengan litografi.

Penutup

Pada zaman Sheikh Ahmad al-Fathani tersebut, alat-alat komunikasi moden seperti sekarang belum banyak dikenali, malahan di antaranya banyak yang tidak wujud lagi. Antaranya alat seumpama televisyen belum ada pada zaman itu. Alat-alat seperti radio, telepon, dan telegram sekiranya ada, hanya untuk kepentingan antara kerajaan dengan kerajaan saja. Kalau kita berbicara perkara-perkara tersebut zaman sekarang, ianya bukanlah perkara aneh lagi, tetapi pada zaman Sheikh Ahmad al-Fathani adalah perkara-perkara tersebut masih dianggap mustahil dan kurang diyakini orang.

Berdasarkan petikan-petikan tersebut, jelas tergambar demikian jauh permikiran Sheikh Ahmad al-Fathani. Padahal zamannya belum begitu banyak alat-alat moden seperti sekarang. Selain alat-alat yang disebutkan, mengenai pengangkutan juga beliau sebutkan walaupun tidak menyebut nama alat tersebut, antaranya seperti kapal terbang. Sekiranya wujud sekalipun ia dalam jumlah yang sangat terbatas dan belum banyak dikenali orang. Bahkan mungkin kapal terbang, alat-alat canggih sekarang seperti roket dan lain-lain sebagainya memang belum ada pada zaman itu.

Barangkali tulisan beliau pada zamannya yang menyebut perkara ini banyak diketawakan orang kerana tidak masuk akal dan mustahil. Maka, berdasarkan tersebut dapat dilihat dengan nyata bahawa Sheikh Ahmad al-Fathani adalah seorang ulama yang berfikiran jauh, yang memandang kepada masa hadapan.

Monday, January 4, 2010

Seminar: Membangunkan "molecular tools" untuk pengesanan dan rawatan kanser

Bismillah..



Pada pagi tadi, saya menghadiri satu seminar berkaitan dengan penyelidikan klinikal kanser. Seminar itu diadakan di bilik kuliah dalam bangunan sains biologi, FST.Penceramah jemputan adalah dari CARIF(CANCER RESEARCH INITIATIVES FOUNDATION) iaitu Dr Cheong Sok Ching.Jawatan beliau adalah Ketua Kumpulan Penyelidikan Kanser Oral di CARIF. Beliau menerangkan kepada saya dan kawan-kawan tentang cara-cara terkini untuk menangani penyakit kanser dari segi rawatan dan pengesanan penyakit kanser pada peringkat awal terhadap pesakit. Langkah-langkah ini meliputi dari peringkat diagnosis dan prognosis. Diagnosis ialah mengenal pasti penyakit yang dihadapi oleh pesakit melalui ujian pengesanan sel kanser.Prognosis pula melibatkan cara dan kaedah meramal kebolehlangsungan hidup pesakit terhadap pesakit dengan memberikan rawatan yang sesuai terhadap keadaan dan tahap penyakit kanser yang dialami oleh pesakit kanser. Pada peringkat prognosis ini, ia dapat membantu pesakit dari segi mengenal pasti jenis rawatan yang sesuai terhadap pesakit dan sejauh mana keberkesanan rawatan kanser yang diberikan kepada pesakit. Ia juga bergantung kepada ciri-ciri pengenalpastian kanser yang dilakukan secara patologi dan klinikal. Kepakaran beliau adalah melibatkan kanser oral dan nasofarangeal.

Beliau juga menerangkan bahawa kebiasaan rawatan dan terapi yang dilakukan oleh doktor atau pakar perubatan ke atas pesakit kanser adalah berisiko mengikut tahap keadaan imun pesakit terhadap kesan rawatan dan terapi seperti terapi dadah(drug therapy) dan kemoterapi(chemotherapy). Melalui terapi konvensional ini, sel-sel normal akan menerima kesan seperti dimusnahkan oleh dos sinaran radioaktif dalam terapi kanser. Hal ini akan menyebabkan tahap kesihatan pesakit akan menurun disebabkan sistem imun menjadi lemah dan mengalami kesan sampingan seperti rambut gugur kerana sel-sel epitelium di permukaaan kulit kepala menjadi mati.

Sel kanser boleh mengalami beberapa peringkat. Biasanya sel kanser bermula dengan pertumbuhan sel yang membahagi secara tidak teratur dan menyebabkan pergandaan sel yang tidak normal dalam titisan sel germa dan sel-sel yang membentuk tisu dan seterusnya organ dalam tubuh manusia. Untuk menangani kanser, kita perlu memahami genetik bagi setiap peringkat perkembangan sel yang mengaruh kepada keadaan kanser yang bermula daripada epitelium biasa, hiperproliferasi epitelium, adenoma, carcinoma dan metatastik carcinoma.


Peringkat kanser payudara dan servik

Dalam terapi kanser mengikut pendekatan molekular ini, ia akan mencetuskan penggunaan vaksin peptida dan antibodi monoklon sebagai teknik terapi molekular kanser. Kanser oral ini adalah antara masalah kesihatan yang dihadapi oleh kebanyakan penduduk di dunia. Bagi kes yang melibatkan kanser nasoparangeal, ia merupakan masalah kesihatan yang dialami di benua Asia. Di Malaysia, ia merupakan kanser kedua paling biasa dihidapi oleh masyarakat Malaysia di kalangan lelaki.


Kanser oral


Kanser Nasofarangeal

Penemuan gen yang dikod sebagai BRCA1 dan BRCA2 yang menyebabkan risiko warisan yang tinggi terhadap penyakit kanser ovari dan payudara ini sedikit sebanyak dapat mengubah cara pengurusan yang lebih baik kepada keluarga yang mempunyai profil dan sejarah penyakit yang tinggi melalui pembangunan terapi yang lebih spesifik terhadap tumor yang mempunyai gen warisan penyebab kanser ovari dan payudara.Terapi sasaran yang dikenali sebagai Herceptin digunakan khusus untuk terapi kanser payudara manakala terapi Gleavec untuk penyakit leukimia mempunyai potensi untuk merawat dan memulihkan penyakit kanser di samping dapat mengurangkan kesan sampingan rawatan kanser. Universiti-universti tempatan seperti UKM,UM dan UPM berkerjasama dalam bidang penyelidikan sel kanser yang melibatkan kanser payudara,oral dan nasoparangeal serta pembangunan dadah anti-kanser.

Sekian sahaja perkongsian maklumat dari saya kepada pembaca blog semua. Harap maklum.

Wallahu 'alam.

Sunday, January 3, 2010

MAJLIS BERSAMA ULAMA' BESAR DARI HADRAMAUT, YAMAN KE MALAYSIA


Al-Allamah Al-Hafidz Al-musnid Al-mufassir Al-Habib Umar ben Hafiz Al-Hadrami Hafizahullah

AHAD , 10 JAN 2010
(24 MUHARRAM 1431)
6PTG – 10 MLM ,
.
DI :
MASJID AL-FALAH , USJ 9 ,
SUBANG JAYA , SELANGOR

SELASA, 12 JAN 2010
(26 MUHARRAM 1431H)
6.30PM-10PM

DI :
PONDOK BAITUL QURRO’
SUNGAI UDANG, MELAKA

Kepada sesiapa yang lihat paparan blog saya ini, diharapkan agar memaklumkan hal ini kepada orang lain dalam blog anda masing-masing.Jazakumullahu khairan kathiran

Wednesday, December 30, 2009

Imbauan Memori Halaqah Ilmu di Bumi Muadzam Shah

Bismillah..

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w, ahli keluarga baginda, para sahabat radhiyallah 'anhum ajma'in, tabi'in dan golongan yang sentiasa berada dalam jalan yang hak sehingga ke hari kiamat.



Seingat saya, saya amat jarang memeperkatakan tentang kisah hidup saya kepada pembaca blog semua dalam laman blog saya ini. Tapi, pada kali ini, saya rasa ingin untuk berkongsi dengan pembaca blog semua tentang kisah hidup saya sewaktu di sekolah menengah dahulu. Sudah lama saya tidak menjejakkan kaki ke bumi Muadzam Shah, iaitu pusat tarbiyah menengah saya yang bernama SMKA Pahang. Selepas daripada tamat pengajian menengah di sana, saya pernah sekali pergi ke sana buat seketika untuk semata-mata mengambil sijil SPM sebelum melanjutkan pengajian ke peringkat matrikulasi di Kolej MARA Kulim, Kedah. Banyak kenangan pahit dan manis yang saya alami dan lalui sepanjang lima tahun menuntut ilmu di sana. Suka duka telah saya tempuh sepanjang tempoh itu. Pelbagai karenah dan ragam yang menggamit 1001 pengalaman yang tidak dapat hendak saya nyatakan semuanya dalam bingkisan coretan memori saya dalam ruangan blog pada kali ini. Mungkin pada hari-hari yang mendatang saya akan cuba berkongsi kisah hidup saya yang lain kepada pembaca blog saya yang dihormati. Pada kali ini, perkara yang ingin saya kongsikan adalah pengalaman dalam menuntut ilmu agama di surau sekolahku. Di sekolah inilah saya mendapat pengajian ilmu agama secara langsung sama ada di dalam kelas dan di surau.

Didikan daripada kedua-dua orang tua saya sewaktu saya kecil amatlah saya hargai kerana melalui merekalah saya mula mengenal agama Allah. Didikan seperti solat fardhu amatlah ditekankan oleh ibu bapa saya. Sesungguhnya hanya Allah sahajalah yang dapat membalas dengan sebaik-baik balasan atas keprihatinan ibu bapa saya tentang kepentingan agama kepada anak-anak mereka. Selain itu, galakan daripada kedua orang tua saya untuk memasuki sekolah agama amatlah saya hargai. Kesungguhan abah untuk membolehkan saya ditempatkan di sekolah agama tidak akan saya lupakan sampai bila-bila. Begitulah susah-payah dan pengorbanan mereka yang sanggup mengizinkan saya berjauhan dengan mereka semata-mata untuk membolehkan saya dapat menerima pembelajaran ilmu dunia dan akhirat yang seimbang. Walaupun pada mulanya hati saya berat kerana tidak pernah berpisah dengan mereka pada usia yang masih mentah dalam mengenal erti kehidupan, tetapi saya cuba untuk lakukannya untuk mendidik diri supaya dapat hidup berdikari dan belajar untuk merasai kepayahan dan kesusahan dalam menuntut ilmu. Walaupun pada hakikatnya, sekolah saya dengan rumah tidaklah jauh sangat, sekadar lebih kurang 1 jam 45 minit perjalanan, tetapi keadaan itu pun sudah memadai untuk saya dapat merasai pengorbanan dalam menuntut ilmu. Jika hendak dibandingkan dengan pengorbanan ulama-ulama dahulu yang sanggup merantau semata-mata untuk mendapatkan khazanah ilmu yang bernilai, amatlah jauh jika ingin dibandingkan dengan diri-diri mereka yang mulia itu.

Dan bermulalah pada saat itu, saya mengenal tentang halaqah ilmu yang dipimpin oleh ustaz-ustaz di sekolah itu. Sejak daripada tingkatan satu hinggalah ke tingkatan lima, pelbagai ilmu yang dapat saya timba daripada ustaz-ustaz saya sewaktu dalam pengajian kuliah ilmu antara waktu maghrib dan isya' serta kuliah subuh. Biasanya kuliah maghrib akan diadakan setiap hari isnin hingga rabu, bacaan yasin dan mathurat pada hari khamis selepas maghrib,usrah mingguan pada hari jumaat dan sabtu selepas maghrib serta tazkirah subuh yang dilakukan setiap hari selepas solat fardhu subuh di surau.Selain itu, amalan qiamulail dilaksanakan sebulan sekali sebagai latihan kepada jiwa rohani saya yang lemah dan perlukan kepada santapan rohani.

Masih segar dalam ingatan saya dengan nama-nama ustaz yang pernah mengajar dan mendidik saya dan kawan-kawan sewaktu di sekolah dahulu antaranya Ustaz Aziz Mesir, Ustaz Aziz Jordan, Ustaz Sheikh 'Arim, Ustaz Shahiruddin Ibrahim,Ustaz Rashid Isa, Ustaz Nazori Abdul rahman, ustaz aziz jamaluddin dan ramai lagi. Kebanyakan daripada nama-nama ustaz yang saya sebutkan ini pernah mengajar saya sewaktu dalam kelas seperti ustaz aziz mesir dan ustaz shahiruddin ibrahim yang mengajar subjek bahasa arab tinggi di tingkatan empat dan lima, ustaz nazori abdul rahman pernah mengajar saya tentang pendidikan al-quran dan sunnah dan ustaz aziz jamaluddin mengajarkan saya tentang pendidikan syariah islamiah.

Ustaz Shahiruddin Ibrahim pernah menjadi mentor saya dalam membantu saya dan kawan-kawan sewaktu menyertai pertandingan hiwar bahasa arab peringkat kebangsaan untuk IHTIFAL SMKA 2005 seluruh malaysia yang diadakan di seberang prai, pulau pinang. Beliau telah berusaha sedaya-upaya untuk melatih saya dan rakan-rakan untuk memperbaiki sebutan huruf semasa bertutur dalam bahasa arab. Sebenarnya saya tak boleh pun nak bercakap bahasa arab, cuma masa tu hafal teks hiwar bahasa arab. Seingat saya, teks hiwar itu membincangkan tentang kepentingan menuntut ilmu di kalangan umat islam. Walaupun saya dan kawan-kawan tidak berjaya dalam pertandingan itu, tetapi sekurang-kurangnya kami dapat melatih diri kami untuk bercakap di khalayak ramai di samping dapat menanamkan rasa cinta kepada lughah jannah ini.

Masih tidak dapat saya lupakan dengan teguran oleh ustaz-ustaz tentang saya dan kawan-kawan sewaktu diamanahkan memegang tanggungjawab dalam badan dakwah sekolah(BADAR). Banyak bimbingan dan tunjuk ajar yang diberikan semoga sentiasa diri ini diislahkan terlebih dahulu dari semasa ke semasa.Teguran ustaz aziz mesir tentang bacaan doa saya yang mempunyai kesalahan dilakukan dengan penuh hikmah. Ustaz selalu berpesan agar jangan tinggalkan pengajian agama apabila keluar daripada SMKAP nanti. Pada masa memegang jawatan dalam badan dakwah sebagai naib presiden 2, banyak perkara yang belajar daripada pengalaman bahawa jawatan yang digalaskan pada bahu saya dan kawan-kawan bukanlah untuk mengejar nama tapi perkara yang amat penting adalah beban dan tanggungjawab dakwah yang dipikul untuk menjadikan surau dan asrama dalam bi'ah yang baik dan suasana agama dapat dirasai oleh semua warga SMKAP. Dari situlah, saya mengerti bahawa tugas dakwah bukanlah sesuatu yang mudah dan ringan, ia amat memerlukan kita sentiasa memperbaharui niat kita untuk melakukan amal semata-mata kerana Allah. Selain itu, kita perlu sentiasa memperbaharui iman dan sentiasa bercita-cita untuk menjaga iman kita supaya usaha dakwah yang dibuat akan menjadikan diri kita lebih insaf akan dosa-dosa dan kesalahan yang dilakukan oleh diri kita dan berusaha untuk melakukan kebaikan sedaya upaya.

Sepanjang lima tahun pengajian ilmu agama di sekolah tersebut, saya dan kawan-kawan dapat mempelajari serba-sedikit tentang ilmu agama yang berkaitan tentang 'aqidah, fekah, hadis, al-quran dan tasawwuf. Walaupun ilmu yang saya dan kawan-kawan timba tidaklah banyak, tetapi saya bersyukur kerana sekurang-kurangnya saya dan kawan-kawan dapat didedahkan dengan talaqqi ilmu agama oleh ustaz-ustaz. Di sini, saya akan sebutkan nama-nama ustaz yang pernah saya dan kawan-kawan timba ilmu daripada mereka melalui pembacaan kitab ulama'-ulama' terdahulu. Antaranya ialah:

1)Ustaz Aziz Mesir( Kitab Bahrul Mazi karangan oleh Sheikh Mohd Idris bin Abd Rauf al-Marbawi Rahimahullah, kitab ini terdiri daripada 22 jilid, tetapi seingat saya, ustaz dapat habiskan pembacaan dan syarah tentang kitab ini sebanyak dua jilid setengah sepanjang lima tahun. Kitab ini merupakan kitab pertama di dalam bahasa Melayu yang membicarakan isu-isu fiqh yang disandarkan kepada hadis.)

2)Ustaz Aziz Jordan( Kitab Sahih Muslim karya Imam Abul Husain Muslim bin al-Hajjaj al-Naisaburi Rahimahullah, seingat saya, ustaz pernah membacakan tentang fasal keimanan dan taharah)

3)Ustaz Shahiruddin Ibrahim( kitab 'aqidatun najiin karya Syeikh Zainal Abidin bin Muhammad Al Fatani Rahimahullah,seingat saya, ustaz sempat membacakan tentang muqaddimah kitab ini sahaja)

4)Ustaz Rashid Isa( Kitab Sairus Salikin, kitab tasawwuf karangan Syeikh Abdul Samad al-Palembani Rahimahullah, seingat saya,ustaz terang tentang kepentingan belajar ilmu tasawwuf dalam melakukan amal ibadah)

5)Ustaz Aziz Jamaluddin( saya pernah mengikuti kelas pengajian al-quran dengan beliau selama 2 tahun tentang ilmu tilawah,qiraat sab'ah dan ilmu hafazan al-quran.Ustaz pernah berguru dengan syaikhul qurra' di syria.susah juga nak belajar qiraat sab'ah.he2)

Di sini juga saya ingin menyebutkan tentang nama-nama ustazah yang pernah mengajar saya sewaktu pengajian di dalam kelas. Antaranya Ustazah Saadiah Abdul Aziz, Ustazah Faridah Ibrahim, Ustazah Noratikah Mohammad, Ustazah Zuhaifah Ismail dan lain-lain lagi. Maaf kerana tidak dapat saya sebutkan semuanya kerana ada di antaranya yang saya dah lupa nama mereka. Terima kasih kepada ustazah noratikah yang sentiasa merangsang saya dan rakan-rakan untuk menimbulkan cinta kepada bahasa arab sewaktu di dalam kelas.Walaupun ustazah agak garang dan tegas,tapi itu adalah untuk kebaikan kami supaya jangan ambil sambil lewa dengan mata pelajaran bahasa arab. Jangan belajar setakat nak dapat "A", tapi belajar untuk kita bersungguh-sungguh memahami ayat-ayat al-quran supaya apabila setiap kali membaca ayat al-quran, kita akan dapat memahami ayat al-quran walaupun sedikit. Hal ini penting untuk menanamkan rasa cinta akan al-quran dan berusaha untuk beramal dengan ayat al-quran.

Sudah lama saya rindukan dengan suasana pengajian ilmu seperti di sekolah dahulu. Semoga Allah merahmati ustaz-ustaz dan ustazah-ustazah yang pernah mengajar saya dan rakan-rakan tentang ilmu agama dan tidak dilupakan kepada guru-guru untuk mata pelajaran bahasa melayu, bahasa inggeris, sejarah,geografi,matematik, matematik tambahan, fizik, kimia,est, biologi dan pendidikan seni visual. Moga Allah muliakan ibu bapa saya dan guru-guru saya di dunia dan akhirat.Amin..Tidak lupa juga kepada junior-junior SMKAP, teruskan usaha anda untuk menimba ilmu dan menjadi orang yang berguna dan harapan kepada agama dan ummah suatu hari nanti.

Sekian coretan kisah hidup saya pada kali ini, salam kasih sayang saya ucapkan dari perbukitan ilmu Bangi kepada ibu bapa saya,guru-guru saya dan sesiapa yang mengenali diri ini atau tidak.

Wallahu 'alam.

Ibn Barudin
Siber Perpustakaan Tun Seri Lanang
UKM Bangi

Tuesday, December 29, 2009

Neraca perbandingan kuantitatif dan kualitatif dalam atomisme

Bismillah..

Segala puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas rasulullah s.a.w, ahli keluarga baginda, para sahabat, tabi'in dan golongan yang sentiasa membantu agama Allah sehingga ke hari kiamat.



Persoalan tentang atom bermula sebagai persoalan falsafah yang berbentuk kualitatif. Orang Yunani berdebat tentang jisim paling kecil yang menjadi asas binaan sesuatu jirim. Jika satu jirim dipecahkan menjadi dua, kemudian bahagian jirim yang terpecah tadi dipecahkan dua lagi, dan proses ini diteruskan, adakah jisim terkecil akhirnya didapati? Dengan kata lain, adakah kita akan sampai kepada satu tahap jisim itu tidak mungkin dapat dipecahkan lagi?

Jika wujud unit terkecil itu, maka adakah semua jirim lain dibentuk oleh jirim terkecil tersebut? Dalam bahasa Yunani, juzuk yang tidak boleh dibahagikan lagi itu disebut sebagai atom. “A” bermaksud tidak manakala “tom” bermaksud dibahagi. Maka, atom bermaksud juzuk yang tidak boleh dibahagikan lagi. Ahli falsafah Yunani berpendapat bahawa atom ialah hakikat binaan sesuatu jirim. Justeru itu, atom tidak boleh dibina atau dimusnahkan. Atom juga dianggap tidak berubah atau hilang. Saiz atom sangat seni tetapi berjirim. Ia mempunyai isipadu yang kecil tetapi menempati ruang. Atom juga bergerak. Setiap yang bergerak mengeluarkan bunyi, maka alam langit yang bergerak juga mengeluarkan bunyi.



Mengikut Demokritus, pemikir Yunani silam, alam ini hakikatnya ialah atom dan gerakannya. Menurut ahli falsafah, atom tidak bermula dan berakhir. Di antara atom-atom, ada ruang kosong yang membolehkannya bergerak. Kewujudan ruang antara atom boleh diperhatikan dengan melarutkan serbuk di dalam air yang penuh dalam sebuah bekas. Jika tiada ruang kosong, maka air akan melimpah.

Ada pandangan ahli falsafah Yunani yang menyatakan bahawa atom tiada isipadu. Pendukung pandangan ini berhujah andainya atom mempunyai isipadu, maka atom boleh dijadikan lagi kecil, sedangkan atom ialah juzuk yang terkecil. Persoalan ini tidak dapat dijawab oleh Demokritus. Demokritus cenderung untuk menyatakan bahawa atom bergerak dengan sendiri dan oleh itu alam juga bergerak dengan sendiri. Pandangan ini ialah percubaan awal untuk memisahkan ketuhanan daripada atom.

Atom, mengikut pandangan mutakallimun, berkaitan dengan persoalan sebab dan akibat. Setiap makhluk nyata yang terdiri daripada atom dan arad(sifat baharu) ialah dua perkara yang berasingan dan tidak selanjar. Sebab dan akibat tidak mempunyai sebarang ikatan lazim kecuali ikatannya terjadi semata-mata kerana iradah Ilahi.

Golongan muktazilah lebih cenderung untuk menyatakan bahawa persoalan sebab dan akibat ialah peristiwa yang lazim berlaku. Mereka berpendapat bahawa setiap sebab akan menimbulkan akibat, sedangkan golongan mutakallimun berpendapat bahawa kedua-dua aspek sebab dan akibat tidak lazim kecuali iradah Ilahi semata-mata yang mengikat kedua-duanya. Akibat yang datang secara berturutan selepas kewujudan sebab ialah suatu kebiasaan, bukannya kemestian.

Sebahagian golongan Asya’irah (mazhab ‘aqidah pimpinan Al-Imam Kabir Abu Hassan Al-Asy’ari Rahimahullah) turut mengambil bahagian dalam perdebatan tentang atom dengan menggunakan hujah wahyu dan mantik. Golongan ini berpendapat seperti berikut:

1)Atom ialah juzuk terkecil yang tidak boleh dibahagikan lagi memang wujud dan menjadi asas yang paling kecil dalam setiap jisim yang dicipta di alam semesta.

2)Setiap makhluk Tuhan terdiri daripada atom dan arad. Arad wujud dalam atom tetapi tidak wujud di dalam arad yang lain. Setiap jisim tidak boleh diceraikan daripada aradnya. Antara arad itu ialah warna, bau , hayat, ilmu dan lawan setiap daripadanya.

3)Atom tidak mempunyai saiz atau magnitude. Atom bersifat homogeny, yang bermaksud atom tiada lebar, tinggi atau panjang. Akan tetapi, apabila berpadu atom membentuk jisim yang berdimensi.

4)Atom mempunyai bilangan yang terhingga, pandangan Yunani menyatakan bahawa bilangan atom adalah tidak terhingga. Alasan golongan Asya’irah ialah Allah Maha Mengetahui dan Menghitung setiap bilangan.

5)Atom boleh dimusnahkan dan tidak kekal, Yunani menyatakan bahawa atom adalah kekal.

6)Allah yang mencipta atom, kemudian memelihara serta mengawasi dan memusnahkannya, mengikut iradah-Nya.

Kesimpulannya, sains atomisme menyaksikan peranan yang dimainkan oleh pemikiran falsafah yang dijelmakan dalam pelbagai pendekatan mazhab, iaitu fahaman yang bersifat kualitatif sejak zaman Yunani lagi. Ketika itu, atom dikaji sebagai unsur falsafah semata-mata. Untuk menguji kebenaran teori atom, sains empirikal hanya dilakukan oleh Jabir ibn Hayyan bersama-sama al-Razi pada kurun ke-9 dan 10. Ketika itu, ilmu kimia sedang bercampur aduk antara unsur kualitatif dan kuantitatif. Perjalanan pemisahan unsur kualitatif sepenuhnya daripada sains kuantitatif berlaku sangat perlahan. Pada kurun ke-18, Newton masih menerima kedua-dua pendekatan kualitatif dan kuantitatif dalam kajian alkimianya. Apabila kurun ke-20 muncul dengan gabungan teori Bohr, Heisenberg dan Anderson, maka barulah aspek kualitatif telah hilang hampir sepenuhnya daripada kimia. Atomisme memberikan satu domain yang jelas. Unsur kuantitatif dan kualitatif bergabung selama 2000 tahun lalu terpisah kedua-duanya hanya sekitar 100 tahun yang lepas.

Wallahu 'alam.

Ibn Barudin
Siber Perpustakaan Tun Seri Lanang
UKM Bangi

Sunday, December 27, 2009

Jadikan ilmu sains moden sebagai seruan keimanan kepada Allah S.W.T

Bismillah..

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Sesungguhnya pujian dari hamba-Mu ini yang baharu kepada-Mu yang qadim. Tidaklah bertambah martabat kemuliaan-Mu dengan pujian dari hamba-Mu ini kerana Engkau adalah Maha Mulia dan Maha suci dari segala sifat kekurangan dan kelemahan. Selawat dan salam ke atas kekasih Allah, Rasulullah S.A.W, sekalian ahli keluarga baginda, para sahabat, tabi’in serta golongan yang sentiasa berada dalam perjuangan menegakkan agama Islam dari dahulu, sekarang dan sehingga ke hari kiamat.

Manusia dapat melihat hikmat, keupayaan mengurus, kekuasaan, peraturan, ketetapan, ketelitian dan keagungan Allah S.W.T dengan melihat makhluk ciptaan-Nya. Ia membuktikan kepada setiap orang yang berakal bahawa semua itu adalah ciptaan Tuhan Yang Maha Bijaksana, Yang Maha Mengetahui, Yang Maha Berkehendak, Yang Maha Berkuasa lagi Yang Maha Mencipta dengan ilmu-Nya yang tidak terbatas. Apabila muncul era kemajuan ilmu moden, pengetahuan manusia mula bertambah setelah melihat keagungan kebijaksanaan-Nya yang nyata pada semua ciptaan-Nya, keupayaan pengurusan-Nya ke atas makhluk serta keindahan dan ketelitian dalam ciptaan-Nya. Dengan sebab itu, pengetahuan manusia terhadap tanda kekuasaan Allah yang wujud di serata dunia semakin bertambah.

Kemudian, muncul sebahagian penemuan baru yang membuka lembaran baru dalam mukjizat al-Quran. Penemuan tersebut mengandungi pelbagai ilmu pengetahuan dan maklumat. Kebenaran al-Quran yang merupakan mukjizat didedahkan oleh kemajuan ilmu moden selepas 14 kurun penurunan al-Quran. Firman Allah S.W.T dalam surah al-Fussilat pada ayat 53 yang bermaksud:

Kami akan perlihatkan kepada mereka tanda-tanda kekuasaan Kami di merata-rata tempat (dalam alam yang terbentang luas ini) dan pada diri mereka sendiri, sehingga ternyata jelas kepada mereka bahawa Al-Quran adalah benar. Belumkah ternyata kepada mereka kebenaran itu dan belumkah cukup (bagi mereka) bahawa Tuhanmu mengetahui dan menyaksikan tiap-tiap sesuatu?” (al-Fussilat:53)

Di sini, saya ingin membawakan suatu contoh tentang ilmu sains dalam dunia moden pada hari ini melalui kajian tentang hubungan antara haba dengan pelbagai bentuk tenaga yang lain yang ditakrifkan dengan istilah teori termodinamik. Dalam teori ini, ia menunjukkan bahawa kepanasan alam ini akan hilang secara berperingkat sehingga pada suatu hari semua penduduk alam ini akan berada dalam suhu yang paling rendah iaitu kosong darjah. Pada ketika itu, hilanglah segala tenaga dan musnahlah kehidupan. Matahari yang bercahaya, bintang yang berkerlipan dan bumi yang dipenuhi dengan pelbagai hidupan semuanya adalah bukti jelas yang menunjukkan asal kewujudan alam mempunyai kaitan dengan masa mula pada ketika tertentu. Oleh itu, ia adalah kejadian baru yakni makhluk yang mempunyai permulaan. Ini bermakna alam semesta ini tentunya dicipta oleh Yang Maha Mencipta yang Azali dan tidak mempunyai permulaan dan pengakhiran. Iaitu Yang Maha Mengetahui dan yang ilmu-Nya meliputi segala sesuatu, Yang Maha Kuat dan tidak terbatas kekuasaan-Nya. Dengan itu, tidak dapat dinafikan lagi bahawa alam semesta ini adalah ciptaan-Nya.

Oleh yang demikian, dengan bukti yang jelas di hadapan kita pada hari ini, amatlah rugi jika masih mensia-siakan peluang hidup yang sementara ini untuk bermuhasabah ini agar kembali kepada jalan Allah mengikut tunjuk ajar yang telah digarapkan oleh sebaik-baik makhluk yang merupakan penghulu anbiya’ dan mursalin, contoh teladan ummah sepanjang zaman iaitu rasulullah S.A.W. Hanya Allah sahajalah yang menjadi tumpuan bagi kita untuk berhajat kepada-Nya. Dan tidaklah Allah S.W.T berhajat kepada makhluk ciptaan-Nya. Firman Allah S.W.T dalam surah al-Ikhlas yang bermaksud:

Katakanlah (wahai Muhammad): “(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa, Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat, Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan, Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya”. (al-Ikhlas:1-4)

Jika kita melihat kepada perbahasan ilmu yang masih terus-menerus dibahaskan sehingga ke hari ini dalam setiap bidang ilmu, seperti ilmu sains, makin bertambahlah bukti yang kuat dan meyakinkan tentang kewujudan pencipta yang Azali yang mempunyai kuasa yang tidak terbatas dan tanpa penghujung. Oleh yang demikian, marilah kita semua kembali kepada Islam yang menjanjikan kehidupan yang bahagia di dunia dan akhirat bagi sesiapa yang meredhai bahawa Allah adalah tuhannya, Rasulullah adalah contoh tauladan dan rasulnya, dan Islam adalah agamanya. Marilah kita sama-sama menegakkan kembali tradisi ilmu yang telah diajar oleh baginda rasulullah s.a.w kepada para sahabat dan seterusnya diwarisi oleh para tabi’in dan ulama islam dari dahulu sehingga sekarang. Tradisi ilmu yang bertunjangkan kepada islam perlu diperkasa kembali dalam segala aspek ilmu pengetahuan agar umat islam akan berada dalam landasan yang benar dan dapat mengamalkan ilmu yang benar hanya semata-mata untuk mendapatkan keredhaan Allah. Selidikilah dan selongkarlah kembali khazanah ilmu peninggalan rasulullah s.a.w untuk umat akhir zaman ini agar kita dapat memanfaatkannya untuk kebaikan dan kesejahteraan ummah. Oleh itu, amatlah penting untuk kita mengenali akan peribadi rasulullah yang mulia dan hanya rasulullah sahajalah murabbi yang terhebat sepanjang zaman.

Di sini, saya ingin menengahkan kata-kata seorang ulama’, Sheikh al-Habib Ali Zainal Abidin al-Jifri hafizahullah. Semoga dapat kita jadikannya sebagai pedoman dan moga-moga dengan memahami kata-kata sheikh ini, Allah akan membuka kepada kita pintu hidayah agar kita sentiasa mendapat petunjuk dan memperolehi ilmu yang berkah daripada dada-dada para alim ulama yang mendapat petunjuk dan irsyad dari Allah S.W.T.


Al-Allamah al-Dai’eyah Syeikh al-Habib Ali Zainal Abidin Al-Jifri Hafizahullah

Katanya : "Matamu ini, hidupkannya dengan kehidupan mata baginda, janganlah engkau melihat pada perkara haram. Telingamu ini, hidupkannya dengan kehidupan telinga baginda, janganlah mendengar dengannya perkara haram. Jangan engkau tuturkan dengan lidahmu melainkan ia menyebabkan engkau bertemu dengan Rasulullah. Jikalau Nabi itu hidup pada hatimu, nescaya engkau tidak boleh memutuskan silaturrahim yang baginda laranginya. Sabdanya :
"Orang yang memutuskan silaturrahim dilaknati walaupun dia meninggal dunia di tengah-tengah Ka'abah"
Jikalau Nabi itu hidup pada hatimu, nescaya engkau tidak sanggup makan sesuap benda halal walaupun ianya seluruh dunia ini. Jikalau Nabi itu hidup pada hatimu, nescaya engkau tidak mengutamakan sesuatu yang binasa berbanding yang kekal. Nescaya engkau tidak cemarkan hatimu yang hidup dengan Rasulullah dengan maki hamun atau sikap membenci walaupun terhadap orang yang mencacimu atau menyakitimu. Jikalau Nabi itu hidup pada hatimu, nescaya masa itu tidak akan berlalu melainkan engkau akan memohon rahsia kehidupan dengan mengingati Allah S.W.T."

Ya Allah, sesungguhnya aku bertawassul dengan keberkatan rasulullah S.A.W mengharapkan keampunan dari-Mu akan dosa-dosaku,dosa kedua ibu bapaku, ahli keluargaku dan seluruh muslimin..

Wallahu ‘alam.

Ibn Barudin
Siber Perpustakaan Tun Seri Lanang
UKM Bangi

Saranan 'Allamah Syeikh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi Hafizahullah Agar Aqidah Al-Asy'ari Terus Dijaga Di Malaysia


Sumber: Tahu, Faham & Amal

Disebutkan dalam islamonline.net di bawah tajuk:“القرضاوي يدعو ماليزيا للتمسك بشخصيتها الإسلامية” (Maksudnya: Al-Qaradhawi mengajak Malaysia agar Berpegang dengan Jati Diri/Peribadi Keislamannya) antaranya:

الدوحة- دعا العلامة الشيخ يوسف القرضاوي ماليزيا إلى المحافظة على شخصيتها الإسلامية المتمثلة في مذهبها الشافعي وعقيدتها الأشعرية للوقوف أمام أي تسلل فكري من الخارج.

Maksudnya:

Dhoha- Al-Allamah As-Sheikh Yusuf Al-Qaradhawi menyeru kepada negara Malaysia agar menjaga syakhsiyyah (peribadi, jati diri atau ciri-ciri) keislamannya yang terzahir daripada mazhabnya As-Syafi’e dan aqidahnya (masyarakat Islam Malaysia) yang Al-Asy’ari untuk berdiri menghadapi dan mendepani serangan pemikiran dari luar.


وخلال لقائه أمس مع رئيس الوزراء الماليزي نجيب تون رزاق، دعا الشيخ القرضاوي رئيس الوزراء والعلماء للتكاتف من أجل المحافظة على الشخصية الإسلامية الماليزية "أشعرية العقيدة شافعية المذهب" لمواجهة أي تسلل فكري ومذهبي وافد من الخارج يشتت وحدتهم ويفسد عقيدتهم.


Maksudnya:

Pada pertemuan dengan Perdana Menteri Malaysia semalam iaitu (Dato’ Seri) Najib Tun Razak, Sheikh Al-Qaradhawi mengajak Perdana Menteri dan para ulama’ agar bersatu padu untuk menjaga jati diri keislaman (Syahksiyyah Islamiyyah) Malaysia yang bersifat “Asy’ari dari sudut aqidah dan Syafi’e dari sudut mazhab” untuk menghadapi segala ancaman pemikiran dan mazhab dari luar yang memecah belahkan kesatuan mereka dan merosakkan aqidah mereka.

Kemudian disebutkan:

وعقب رئيس الوزراء الماليزي على كلام الشيخ القرضاوي، مؤكدا حرص حكومته على أن تبقى الشخصية الإسلامية الماليزية بعيداً عن الخلافات المذهبية التي تشتت ولا تجمع.

Maksudnya:

Perdana Menteri memberi ulasan terhadap perkataan Sheikh Al-Qaradhawi dengan menegaskan bahawasanya kerajaan akan terus mengekalkan jati diri (syakhsiyyah) keislaman negara Malaysia agar jauh daripada perselisihan mazhab yang memecah-belahkan umat dan tidak menyatukan mereka.

Friday, December 25, 2009

Surat Sheikh Nuh Ha Mim Keller Hafizahullah kepada ahli biologi muslim, Suleman 'Ali tentang teori evolusi dan islam

Bismillah..

Segala puji bagi Allah serta selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W dan sekalian kaum keluarga baginda, para sahabat dan golongan mereka yang membantu agama yang diredhai oleh Allah S.W.T iaitu Islam.


Sheikh Nuh Ha Mim Keller Hafizahullah

Berikut adalah pendahuluan surat yang telah ditulis oleh Sheikh Nuh Ha Mim Keller hafizahullah, seorang ulama sufi islam yang berasal dari Amerika:

"Dengan nama Allah,Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani"

Kehadapan Suleman 'Ali,

Terima kasih kepada faks anda yang bertarikh 27 Jun 1995 yang menyatakan:

"Baru-baru ini sebuah risalah telah beredar di sekitar Oxford mengatakan bahawa evolusi adalah sama dengan kekufuran dan syirik. Saya sendiri adalah seorang ahli biologi dan saya yakin dengan bukti-bukti yang menyokong teori evolusi. Saya menulis surat ini untuk bertanya adakah penjelasan Al-Quran tentang Penciptaan tidak berpadanan dengan manusia yang mempunyai potensi untuk berevolusi dan berubah. Adakah ada buku-buku yang tuan boleh syorkan tentang perkara tersebut? "

Respon awal Syeikh tentang soalan ahli biologi tersebut adalah seperti berikut:

Selama tempoh "penjelasan saintifik secara logik" di University of Chicago, saya selalu berfikir bahawa teori-teori saintifik harus mempunyai koherensi, kelogikan, penerapan, dan kecukupan, dan saya sudah terbiasa untuk menyemak pernyataan-pernyataan teori dengan melihat hal-hal ini pada gilirannya. Mungkin mereka memberikan suatu titik tolak yang wajar untuk memberikan jawapan atas soalan anda yang, jika sepintas dan agak peribadi, mungkin belum terang tentang masalah-masalah yang anda bertanya tentangnya.

Rumusan yang dibuat oleh Syeikh tentang soalan ahli biologi tersebut adalah seperti berikut:

"Allah sahajalah Yang Maha Wujud. Dia sendiri menyebabkan semua yang bermanfaat dan tidak bermanfaat. Mereka tidak boleh melahirkan akibat dan kesan daripada perbuatan mereka melainkan Allah. Punca dan kesan daripada semuanya, termasuk yang melalui spesies tanaman dan haiwan yang terindividu, adalah pekerjaan-Nya sendirian. Untuk menyatakan bahawa tindakan apa pun selain-Nya,sama ada yang menimbulkan kesan di dalam dan dari diri mereka sendiri atau menimbulkan kesan di dalam dan dari diri mereka sendiri melalui kemampuan Allah telah ditempatkan di dalamnya, adalah suatu penyegutuan kepada Allah (syirik). Kepercayaan seperti itu kelihatan terkandung dalam pengertian harfiah "seleksi alam" dan "mutasi rawak", dan konsep evolusi lain, melainkan kita memahami ini sebagai penyebab figuratif, sambil menyedari bahawa Allah sendiri adalah agen. Ini terlepas dari pertimbangan apakah mereka benar atau tidak."

"Adapun dakwaan bahawa manusia telah berevolusi daripada spesis bukan-manusia, ini adalah kufur (kekufuran) disebabkan menafikan kebenaran penciptaan Adam secara khusus oleh Allah yang telah dinyatakan dalam Quran."



Jawapan Syeikh tentang soalan ahli biologi ini telah dibukukan. Buku tersebut bertajuk "Evolution Theory and Islam"mempunyai sebanyak 14 halaman. Di dalam buku tersebut, Sheikh menyatakan tentang hukum umat islam mempercayai Teori Evolusi yang dipelopori oleh Sir Charles Darwin.


Sir Charles Darwin (1809-1882)

Thursday, December 24, 2009

Lalat lebih hebat daripada kita!!

Bismillah..

Segala puji bagi Allah serta selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W dan sekalian kaum keluarga baginda, para sahabat dan golongan mereka yang membantu agama yang diredhai oleh Allah S.W.T iaitu Islam.

Lalat adalah jenis serangga yang berasal dari subordo Cyclorrapha ordo Diptera. Secara morfologi lalat berbeza dari nyamuk (subordo Nematocera) berdasarkan ukuran antenanya; lalat berantena pendek, sedangkan nyamuk berantena panjang. Lalat umumnya mempunyai sepasang sayap asli serta sepasang sayap kecil yang digunakan untuk menjaga kestabilan semasa terbang. Lalat sering hidup di kawasan tempat tinggal manusia dan sebahagian daripada jenisnya dapat menyebabkan penyakit yang serius. Lalat disebut penyebar penyakit yang sangat serius karena setiap lalat hinggap di suatu tempat, kurang lebih 125000 kuman yang akan berada di tempat tersebut.

Para penyelidik entomologi (kajian tentang serangga) telah mendedahkan bahawa lalat dibekalkan kelenjar air liur yang panjang dan mempunyai air liur yang amat banyak. Apabila lalat mengambil sesuatu makanan, air liur dikeluarkan dengan cepat bagi menukarkannya segera kepada bahan lain. Sekiranya lalat mengambil sesuatu daripada kita dan kita mahu mengambilnya semula, kita tentu tidak mampu melakukannya. Lalat segera merembeskan air liur setelah mengambilnya dan menukarkannya kepada benda lain. Sekiranya kita membunuh lalat tersebut, kemudian kita pegang dan cari benda yang diambilnya, kita tidak akan menjumpai benda tersebut kerana ia telah bertukar kepada bahan lain.

Al-Quran telah menyebut perkara ini dan memberikan contoh yang menunjukkan kelemahan manusia. Firman Allah S.W.T dalam surah al-Hajj pada ayat 73-74 yang bermaksud:

"Wahai umat manusia, inilah diberikan satu misal perbandingan, maka dengarlah mengenainya dengan bersungguh-sungguh. Sebenarnya mereka yang kamu seru dan sembah, yang lain dari Allah itu, tidak sekali-kali akan dapat mencipta seekor lalat walaupun mereka berhimpun beramai-ramai untuk membuatnya; dan jika lalat itu mengambil sesuatu dari mereka, mereka tidak dapat mengambilnya balik daripadanya. (Kedua-duanya lemah belaka), lemah yang meminta (dari mendapat hajatnya), dan lemah yang diminta (daripada menunaikannya)."(al-Hajj:73)

"Mereka (yang kafir musyrik) itu tidak menghormati Allah menurut penghormatan yang selayaknya (sebagaimana yang ditetapkanNya); sesungguhnya Allah adalah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa."(al-Hajj:74)


Sheikh Prof Dr Abdul Majid Aziz Az-Zindani Hafizahullah

Sebagai kesimpulannya, saya ingin menukilkan tetang kata-kata Sheikh Prof. Dr Abdul Majid Aziz Az-Zindani Hafizahullah di dalam kitabnya yang berjudul, "Kitab Tauhid", iaitu:
"Rahsia kejadian lalat ini hanya diketahui pada zaman sekarang. Tidak ada seorang pun yang mengetahuinya sebelum zaman kemajuan peralatan penyelidikan sains melainkan Rasulullah S.A.W yang diutuskan oleh Allah S.W.T. Al-Quran menyebutkan bahawa manusia tidak mampu mengambil semula benda yang diambil oleh lalat daripadanya. Manusia kemudiannya mengetahui pada zaman ini mengenai kemampuan lalat menukarkan benda yang diambilnya dengan cepat kepada bahan yang lain. Hal ini merupakan keajaiban Al-Quran yang telah dapat terbongkar dengan kemajuan ilmu sains pada zaman ini."

Wallahu a'lam.


Siber Perpustakaan Tun Seri Lanang
UKM Bangi

Sunday, December 20, 2009

BENGKEL MEJA BULAT “MENGHADAPI HEGEMONI BARAT KE ATAS UMAT ISLAM”


'Allamah Syeikh Dr Wahbah al-Zuhaily Hafizahullah

BENGKEL MEJA BULAT “MENGHADAPI HEGEMONI BARAT KE ATAS UMAT ISLAM”
Bersama Prof. Dr. Wahbah al-Zuhaily

Anjuran : SHURA dan PUM

Tarikh : 23 hb Disember 2009

Tempat : Dewan Perpustakaan Negeri Selangor, Shah Alam

Peserta : 80-100 orang

Pimpinan/Wakil organisasi Islam
Wakil parti politik
Ahli Akademik
Institusi-institusi penyelidikan / kajian sosial tempatan
Mahasiswa tempatan dan luar negara
Wakil Majlis Agama Islam Negeri-negeri
Wakil kedutaan
Wakil Media

Muqaddimah.

Salah satu strategi kuasa Barat untuk menghadapi kekuatan umat ialah dengan cara mensasarkan sumber utama Islam iaitu Al Quran. Sudah terlalu lama dan berpanjangan agenda “long war” digerakkan sehingga kuasa anti Islam di Barat menduga betapa cara berkesan untuk menghadapi Islam dan umat Islam ialah dengan menyerang Islam dari dalam. Iaitu menyerang dari sumber utamanya ; Kitabullah.

Sebagai natijahnya ialah mereka telah melancarkan pelaksanaan strategi menaja segala pendekatan untuk “re-construct Islam” dengan mempopularkan pemikiran “re-interprating Islam” melalui pelbagai saluran ; wacana intelektual , media , penulisan , persidangan , pembiayaan kajian sarjana , penerbitan buku dan jurnal dan membangunkan institusi atas nama penyelidikan dan wacana Islam.

SHURA mengikuti perkembangan sepakterajang Barat ini dengan serius kerana ia merupakan suatu gelombang orientalisme baru untuk menghadapi kebangkitan umat yang mencabar kuasa Barat. Sementara pelbagai strategi “overt” yang melibatkan operasi ketenteraan serta segala perjanjian kerjasama yang cuba di ujudkan dengan ketua negara-negara umat Islam. Mereka juga mengatur tipu-helah yang licik di samping menggunakan strategi “diplomatic” (covert) dengan niat untuk mempengaruhi agenda dan polisi nasional negara umat Islam sehingga akhirnya polisi tersebut digubal dalam bentuk yang lebih pro-Barat berbanding kepentingan umat Islam itu sendiri.

Sebagai respon terhadap cabaran berkenaan SHURA dan PUM , menganjurkan persidangan yang memanfaatkan beberapa tokoh-tokoh pemikir Islam yang berwibawa untuk mendedahkan senario yang sedang dihadapi umat Islam masa kini.

Bengkel kali ini dianjurkan untuk bersama seorang ulama kontemporari iaitu Syeikh Dr. Wahbah Zuhaily bagi mengupas mengenai keperluan umat Islam dalam mempertahankan keutuhan pentafsiran Al Quran dan bagaimana umat harus respon kepada persoalan cabaran aliran pemikiran liberal yang sedang ditaja oleh Barat.

Objektif

Bengkel ini bertujuan merumus dan mempertegaskan pendirian umat Islam sekaligus mempertahankan kemurnian Islam dan hak serta tanggungjawab umat mendaulatkan hukum-hukum Allah seperti yang terungkap dalam Al Quran.

Ia juga bertujuan mengembleng keupayaan golongan ulama serta intelektual Muslim agar merespon kepada dakwaan jahat golongan fasiq dan munafiq terhadap kesucian Islam, khasnya dari kalangan umat Islam sendiri yang menjadi alat kepada kuasa Barat .

Agenda Bengkel

8.00 pagi Pendaftaran peserta dan sarapan

8.30 pagi Iftitah Majlis

Bacaan Al Quran
Kata-kata Aluan dan sambutan penganjur
Ucaputama Pengerusi SHURA
“ Memperkasa Ulama Menghadapi Hegemoni Barat”

10.30 pagi Bicara 1: “ The Goldstone Report – Mobilizing the International Community for Justice”

Panel 1: Mohideen Abdul Kader , Pengarah Citizen International

Panel 2: Wakil pejabat UN Kuala Lumpur

12.30 ptg Rehat dan jamuan / solat

2.00 ptg Bicara Khas 2 : “Agenda Bertindak untuk Keadilan dan Keamanan ASEAN-merangka Pelan Bertindak Umat”

Panel 1 : Setiausaha SHURA/ Kordinator NADI

Panel 2 : Wakil Kementerian Luar / wakil Sekretriat ASEAN

3.00 ptg Bicara Khas 1: Syeikh Dr. Wahbah Zuhaily

“ Membangun Kesedaran Ummah Menghadapi Tantangan Era Neo-kolonialisme Barat ”.

4.00 ptg Wacana dan dialog terbuka dengan Dr. Wahbah Zuhaily

5.00 ptg Rumusan

Wednesday, December 16, 2009

Syarahan Perdana Syeikh Dr. Yusuf Al-Qardhawi



SYARAHAN PERDANA

Anjuran Kerajaan Negeri Selangor Darul Ehsan

Oleh Ulama Tersohor Sheikh Yusuf Al – Qaradhawi

Sahibul Fadhilah Syeikh Dr. Yusuf Al Qaradawi akan datang ke Malaysia sempena program Ma'al Hijrah 1431 dimana beliau akan diberi anugerah Tokoh Ma'al Hijrah Malaysia 1431 pada hari Juma'at ini 01 Muharam 1431 / 18 Disember 2009. Sempena kedatangan beliau, Sahibul Fadhilah Syeikh Dr. Yusuf Qaradawi dijemput oleh Kerajaan Negeri Selangor untuk satu program Pidato Perdana Ma'al Hijrah.Butir-butir Program Pidato Perdana adalah seperti berikut:

Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Syah, Masjid Negeri Shah Alam

Sabtu 02 Muharram 1431 / 19 disember 2009

Program bermula dengan solat magrib sehingga tamat.


Monday, December 7, 2009

SEMINAR SUFI 2009

Anjuran : JABATAN MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN, PEJABAT MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN, JABATAN PERDANA MENTERI, TINGKAT 10, MENARA PUSAT ISLAM, JALAN PERDANA, 50676 KUALA LUMPUR
TEL: 03-22723137 FAX: 03-22723126

Tarikh/Hari : 12HB DISEMBER 2009 -25HB ZULHIJJAH, 1430H (SABTU)

Tempat : DEWAN INSTITUT KEFAHAMAN ISLAM MALAYSIA (IKIM) - 234432-H2, Langgak Tunku, Off Jalan Duta, 50480 Kuala Lumpur.
Tel : 03-62046200 Faks : 03-62014189 Email : info@ikim.gov.my

Sila hubungi Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan untuk tempahan tempat dan makanan. Muslimin dan Muslimat dijemput hadir beramai-ramai.

Sunday, December 6, 2009

Pengukuhan Aqidah Menerusi Penghayatan Sains Dalam Al-Quran Siri 3 (Bhgn 1)

Al-Muttaqin TV | Saluran Ilmiah Anda : Pengukuhan Aqidah Menerusi Penghayatan Sains Dalam Al-Quran Siri 3 (Bhgn 1)

Video ini merupakan ceramah pensyarah saya, Prof. Madya Dr. Mohd Arif bin Kasmo,Ahli Falsafah Sains UKM. Selamat menonton kepada pengunjung blog saya. Sila klik pada link di atas. Untuk makluman semua, anda boleh menonton ceramah ini dalam al-muttaqin TV

Harap maklum.

Saturday, December 5, 2009

Hukum Pengklonan Terapeutik dan Penyelidikan Sel Stem

Sumber: Fatwa Negeri Selangor Darul Ehsan

Kategori : Sosial/Syariah

Tajuk :
Hukum Pengklonan Terapeutik dan Penyelidikan Sel Stem (stem Cell)

Isu :

Fatwa :

1. Pengklonan terapeutik untuk tujuan rawatan perubatan seperti mencipta sel-sel tertentu atau menggantikan organ yang telah rosak dengan mengambil kira langkah-langkah sempadan yang dibenarkan oleh syara’ adalah diharuskan.

2. Harus menggunakan embrio yang disimpan beku atau lebihan embrio
dari proses persenyawaan di luar rahim (IVF) untuk tujuan penyelidikan dengan syarat mendapat persetujuan pasangan suami isteri yang menerima rawatan dan kajian tersebut dilakukan sebelum mencapai tahap ‘alaqah’(blastocyst).

3. Penyelidikan ke atas pra-embrio selain dari untuk tujuan terapeutik hendaklah mendapat kebenaran daripada pasangan suami isteri. Praembrio hasil penyelidikan ini, tidak boleh sama sekali ditanam dalam rahim isteri atau mana-mana wanita yang lain.

4. Harus melakukan penyelidikan ke atas pra-embrio untuk mengetahui
penyakit genetik bagi pasangan suami isteri yang berisiko tinggi dan hanya embrio yang dikenalpasti bebas dari penyakit sahaja boleh ditanam dalam rahim ibunya dalam tempoh perkahwinan yang sah. Sebarang penyelidikan yang berunsurkan komersial atau yang tiada kaitan dengan kesihatan ibu atau janin adalah tidak dibenarkan.

5. Rawatan kejuruteraan genetik ke atas pra-embrio yang melibatkan
pengubahsuaian sifat semulajadi seperti rambut, warna rambut,
kebijaksanaan, ketinggian dan sebagainya termasuk memilih jantina
adalah haram. Bagaimanapun, pemilihan jantina diharuskan sekiranya
faktor jantina menatijahkan suatu penyakit genetik yang serius yang
boleh membawa kematian.

6. Penyelidikan hendaklah dijalankan secara sah dan proposal penyelidikan mestilah jelas, saintifik dan dikendalikan oleh penyelidik yang benar-benar mempunyai kemahiran, amanah serta bertanggungjawab.

7. Sel stem daripada sumber-sumber berikut adalah harus digunakan untuk tujuan rawatan perubatan dan kaji selidik:

a. Daripada seorang dewasa (sel stem dewasa) dengan izin dan
prosedurnya tidak mengakibatkan mudarat;

b. Daripada seorang kanak-kanak dengan keizinan ibu bapanya dan
prosedurnya tidak mengakibatkan mudarat;

c. Daripada uri dan darah tali pusat bayi dengan keizinan ibu bapanya;

d. Daripada janin yang gugur secara spontan atau keguguran akibat
daripada rawatan perubatan yang dibenarkan syara’ dengan syarat
mendapat keizinan ibu bapanya, bukan janin yang digugurkan secara
sengaja atau digugurkan tanpa sebab-sebab perubatan yang dibenarkan
oleh syara’;

e. Daripada lebihan embrio (excess embryos) yang disimpan beku daripada teknologi bantuan kesuburan IVF dengan syarat mendapat keizinan daripada ibu bapanya. Sel stem daripada embrio yang dihasilkan secara sengaja (created embryo) dengan teknologi Somatic Cell Nuclear Transfer ( SCNT ) adalah tidak dibenarkan berdasarkan kaedah saddul zaraie’ iaitu menutup pintu keburukan.



Rujukan Pewartaan : Sel. P.U. 13.

Tarikh Pewartaan :
25 Mei 2006

Wednesday, December 2, 2009

Istighfar Imam Al-Hassan Al-Basri

Bismillah..

Segala puji bagi Allah serta selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W dan sekalian kaum keluarga baginda, para sahabat dan golongan mereka yang membantu agama yang diredhai oleh Allah S.W.T iaitu Islam.

Pada kali ini, saya ingin bercerita sedikit tentang pengalaman saya semasa hendak pulang beraya ke kuantan pada hari khamis yang lepas. Sewaktu saya berada di Puduraya pada hari itu,saya pun pergi melihat kedai-kedai yang ada di situ. Dengan izin Allah, kaki saya pun melangkah ke sebuah kedai buku yang menjual kitab-kitab agama. Pada masa itu, saya pun lihat-lihat buku apa yang ada di dalam kedai itu. Ada seorang pak cik menyapa saya,"Assalamualaikum,nak cuba tengok buku kecil yang tersusun kecil di atas rak itu? Saya pun tengok la buku kecil yang dimaksudkan oleh pak cik tersebut. Apabila saya melihat muka depan buku kecil tersebut,bertajuk Istighfar Imam Al-Hassan Al-Basri . Pada pandangan pertama saya ke arah buku kecil itu, saya pun bermonolog dalam hati, "Bagus buku kecil ini,walaupun nampak ringkas,tetapi ilmu yang terkandung di dalamnya amat berguna untuk mendidik hati hamba-Mu yang lemah ini". Mungkin inilah karamah yang diberikan oleh Allah kepada seorang ulama' yang mulia iaitu penghulu segala tabi'in, Imam al-Hassan al-Basri. Sehingga ke hari ini, ilmunya terus subur di kalangan umat islam melalui ulama'-ulama selepasnya yang mewarisi ilmunya yang berkah itu.

Di dalam buku kecil tersebut, ia berkisar tentang istighfar yang diilhamkan oleh Allah kepada al-imam hassan al-basri . Beliau dilahirkan dua tahun sebelum berakhirnya pemerintahan Sayyiduna Umar al-Khattab dan wafat pada tahun 110 hijrah. Terkenal sebagai seorang yang amat takut dan gerun kepada Allah hinggakan selama 30 tahun beliau tidak pernah ketawa. Ulama' menyifatkan bahawa tidak ada seorang pun yang lebih takut kepada Allah pada zaman itu daripada Imam al-Hassan al-Basri dan Umar ibn Abdul Aziz iaitu seorang khalifah terkenal adil dan wara'.


Sheikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Maliki Hafizahullah

Buku kecil ini telah dikeluarkan oleh al-faqir ilallah al-qawiyy Muhammad Fuad bin Kamaludin Al-Maliki Hafizahullah. Beliau telah menerima hizib istighfar Imam al-Hassan al-Basri ini daripada guru beliau yang mulia, al-Muhaddith Dr. Sayyid Muhammad ibn 'Alawi al-Maliki dan diwarisi oleh ulama-ulama' sebelumnya secara bersanad sehinggalah kepada Al-Imam al-Hassan al-Basri. Beliau mewasiatkan kepada umat islam supaya bertaqwa kepada Allah dalam setiap keadaan dan menjaga hizib tersebut dengan baik. Semoga dilimpahkan oleh Allah rahsia hizib yang mulia ini dan dosa kita diampunkan dengannya dan kemuliaan pengarangnya, al-Imam al-Hassan al-Basri.

Wallahu a'lam.


Ads

Create your own banner at mybannermaker.com!
Copy this code to your website to display this banner!



Gratisan Musik

My Blog List

Search in the Quran
Search in the Quran:
in
Download Islamic Softwares FREE | Free Code/td>
Powered by www.SearchTruth.com

reliable stats
Expedia Promotional Code


WWW YOUR.DOMAIN.COM
Prayer Times For 6 Million Cities Worldwide
Country:
Search in the Hadith
Search:
in
Download | Free Code
www.SearchTruth.com

WWW YOUR.DOMAIN.COM
Finetuning.com
your3dsource
Best Muslim Sites Blog Directory for USA Blog Directory for USA
Which malaysian newspapers you prefer to read?
Utusan Malaysia
Berita Harian
News Strait Times
Harakah
  
Free polls from Pollhost.com
BlogElites.com Best Islamic Sites - Ranking Muslim Sites Healthcare 100 - eDrugSearch.com Best Malaysian Sites

BlogMalaysia.com


Increase Your Backlinks Clicky Web Analytics