Segala puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas rasulullah s.a.w, ahli keluarga baginda, para sahabat, tabi'in dan golongan yang sentiasa membantu agama Allah sehingga ke hari kiamat.

Persoalan tentang atom bermula sebagai persoalan falsafah yang berbentuk kualitatif. Orang Yunani berdebat tentang jisim paling kecil yang menjadi asas binaan sesuatu jirim. Jika satu jirim dipecahkan menjadi dua, kemudian bahagian jirim yang terpecah tadi dipecahkan dua lagi, dan proses ini diteruskan, adakah jisim terkecil akhirnya didapati? Dengan kata lain, adakah kita akan sampai kepada satu tahap jisim itu tidak mungkin dapat dipecahkan lagi?
Jika wujud unit terkecil itu, maka adakah semua jirim lain dibentuk oleh jirim terkecil tersebut? Dalam bahasa Yunani, juzuk yang tidak boleh dibahagikan lagi itu disebut sebagai atom. “A” bermaksud tidak manakala “tom” bermaksud dibahagi. Maka, atom bermaksud juzuk yang tidak boleh dibahagikan lagi. Ahli falsafah Yunani berpendapat bahawa atom ialah hakikat binaan sesuatu jirim. Justeru itu, atom tidak boleh dibina atau dimusnahkan. Atom juga dianggap tidak berubah atau hilang. Saiz atom sangat seni tetapi berjirim. Ia mempunyai isipadu yang kecil tetapi menempati ruang. Atom juga bergerak. Setiap yang bergerak mengeluarkan bunyi, maka alam langit yang bergerak juga mengeluarkan bunyi.

Mengikut Demokritus, pemikir Yunani silam, alam ini hakikatnya ialah atom dan gerakannya. Menurut ahli falsafah, atom tidak bermula dan berakhir. Di antara atom-atom, ada ruang kosong yang membolehkannya bergerak. Kewujudan ruang antara atom boleh diperhatikan dengan melarutkan serbuk di dalam air yang penuh dalam sebuah bekas. Jika tiada ruang kosong, maka air akan melimpah.
Ada pandangan ahli falsafah Yunani yang menyatakan bahawa atom tiada isipadu. Pendukung pandangan ini berhujah andainya atom mempunyai isipadu, maka atom boleh dijadikan lagi kecil, sedangkan atom ialah juzuk yang terkecil. Persoalan ini tidak dapat dijawab oleh Demokritus. Demokritus cenderung untuk menyatakan bahawa atom bergerak dengan sendiri dan oleh itu alam juga bergerak dengan sendiri. Pandangan ini ialah percubaan awal untuk memisahkan ketuhanan daripada atom.
Atom, mengikut pandangan mutakallimun, berkaitan dengan persoalan sebab dan akibat. Setiap makhluk nyata yang terdiri daripada atom dan arad(sifat baharu) ialah dua perkara yang berasingan dan tidak selanjar. Sebab dan akibat tidak mempunyai sebarang ikatan lazim kecuali ikatannya terjadi semata-mata kerana iradah Ilahi.
Golongan muktazilah lebih cenderung untuk menyatakan bahawa persoalan sebab dan akibat ialah peristiwa yang lazim berlaku. Mereka berpendapat bahawa setiap sebab akan menimbulkan akibat, sedangkan golongan mutakallimun berpendapat bahawa kedua-dua aspek sebab dan akibat tidak lazim kecuali iradah Ilahi semata-mata yang mengikat kedua-duanya. Akibat yang datang secara berturutan selepas kewujudan sebab ialah suatu kebiasaan, bukannya kemestian.
Sebahagian golongan Asya’irah (mazhab ‘aqidah pimpinan Al-Imam Kabir Abu Hassan Al-Asy’ari Rahimahullah) turut mengambil bahagian dalam perdebatan tentang atom dengan menggunakan hujah wahyu dan mantik. Golongan ini berpendapat seperti berikut:
1)Atom ialah juzuk terkecil yang tidak boleh dibahagikan lagi memang wujud dan menjadi asas yang paling kecil dalam setiap jisim yang dicipta di alam semesta.
2)Setiap makhluk Tuhan terdiri daripada atom dan arad. Arad wujud dalam atom tetapi tidak wujud di dalam arad yang lain. Setiap jisim tidak boleh diceraikan daripada aradnya. Antara arad itu ialah warna, bau , hayat, ilmu dan lawan setiap daripadanya.
3)Atom tidak mempunyai saiz atau magnitude. Atom bersifat homogeny, yang bermaksud atom tiada lebar, tinggi atau panjang. Akan tetapi, apabila berpadu atom membentuk jisim yang berdimensi.
4)Atom mempunyai bilangan yang terhingga, pandangan Yunani menyatakan bahawa bilangan atom adalah tidak terhingga. Alasan golongan Asya’irah ialah Allah Maha Mengetahui dan Menghitung setiap bilangan.
5)Atom boleh dimusnahkan dan tidak kekal, Yunani menyatakan bahawa atom adalah kekal.
6)Allah yang mencipta atom, kemudian memelihara serta mengawasi dan memusnahkannya, mengikut iradah-Nya.
Kesimpulannya, sains atomisme menyaksikan peranan yang dimainkan oleh pemikiran falsafah yang dijelmakan dalam pelbagai pendekatan mazhab, iaitu fahaman yang bersifat kualitatif sejak zaman Yunani lagi. Ketika itu, atom dikaji sebagai unsur falsafah semata-mata. Untuk menguji kebenaran teori atom, sains empirikal hanya dilakukan oleh Jabir ibn Hayyan bersama-sama al-Razi pada kurun ke-9 dan 10. Ketika itu, ilmu kimia sedang bercampur aduk antara unsur kualitatif dan kuantitatif. Perjalanan pemisahan unsur kualitatif sepenuhnya daripada sains kuantitatif berlaku sangat perlahan. Pada kurun ke-18, Newton masih menerima kedua-dua pendekatan kualitatif dan kuantitatif dalam kajian alkimianya. Apabila kurun ke-20 muncul dengan gabungan teori Bohr, Heisenberg dan Anderson, maka barulah aspek kualitatif telah hilang hampir sepenuhnya daripada kimia. Atomisme memberikan satu domain yang jelas. Unsur kuantitatif dan kualitatif bergabung selama 2000 tahun lalu terpisah kedua-duanya hanya sekitar 100 tahun yang lepas.
Wallahu 'alam.
Ibn Barudin
Siber Perpustakaan Tun Seri Lanang
UKM Bangi



















































No comments:
Post a Comment