Segala puji bagi Allah serta selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W dan sekalian kaum keluarga baginda, para sahabat dan golongan mereka yang membantu agama yang diredhai oleh Allah S.W.T iaitu Islam.
Lalat adalah jenis serangga yang berasal dari subordo Cyclorrapha ordo Diptera. Secara morfologi lalat berbeza dari nyamuk (subordo Nematocera) berdasarkan ukuran antenanya; lalat berantena pendek, sedangkan nyamuk berantena panjang. Lalat umumnya mempunyai sepasang sayap asli serta sepasang sayap kecil yang digunakan untuk menjaga kestabilan semasa terbang. Lalat sering hidup di kawasan tempat tinggal manusia dan sebahagian daripada jenisnya dapat menyebabkan penyakit yang serius. Lalat disebut penyebar penyakit yang sangat serius karena setiap lalat hinggap di suatu tempat, kurang lebih 125000 kuman yang akan berada di tempat tersebut.
Para penyelidik entomologi (kajian tentang serangga) telah mendedahkan bahawa lalat dibekalkan kelenjar air liur yang panjang dan mempunyai air liur yang amat banyak. Apabila lalat mengambil sesuatu makanan, air liur dikeluarkan dengan cepat bagi menukarkannya segera kepada bahan lain. Sekiranya lalat mengambil sesuatu daripada kita dan kita mahu mengambilnya semula, kita tentu tidak mampu melakukannya. Lalat segera merembeskan air liur setelah mengambilnya dan menukarkannya kepada benda lain. Sekiranya kita membunuh lalat tersebut, kemudian kita pegang dan cari benda yang diambilnya, kita tidak akan menjumpai benda tersebut kerana ia telah bertukar kepada bahan lain.
Al-Quran telah menyebut perkara ini dan memberikan contoh yang menunjukkan kelemahan manusia. Firman Allah S.W.T dalam surah al-Hajj pada ayat 73-74 yang bermaksud:
"Wahai umat manusia, inilah diberikan satu misal perbandingan, maka dengarlah mengenainya dengan bersungguh-sungguh. Sebenarnya mereka yang kamu seru dan sembah, yang lain dari Allah itu, tidak sekali-kali akan dapat mencipta seekor lalat walaupun mereka berhimpun beramai-ramai untuk membuatnya; dan jika lalat itu mengambil sesuatu dari mereka, mereka tidak dapat mengambilnya balik daripadanya. (Kedua-duanya lemah belaka), lemah yang meminta (dari mendapat hajatnya), dan lemah yang diminta (daripada menunaikannya)."(al-Hajj:73)
"Mereka (yang kafir musyrik) itu tidak menghormati Allah menurut penghormatan yang selayaknya (sebagaimana yang ditetapkanNya); sesungguhnya Allah adalah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa."(al-Hajj:74)

Sheikh Prof Dr Abdul Majid Aziz Az-Zindani Hafizahullah
Sebagai kesimpulannya, saya ingin menukilkan tetang kata-kata Sheikh Prof. Dr Abdul Majid Aziz Az-Zindani Hafizahullah di dalam kitabnya yang berjudul, "Kitab Tauhid", iaitu:
"Rahsia kejadian lalat ini hanya diketahui pada zaman sekarang. Tidak ada seorang pun yang mengetahuinya sebelum zaman kemajuan peralatan penyelidikan sains melainkan Rasulullah S.A.W yang diutuskan oleh Allah S.W.T. Al-Quran menyebutkan bahawa manusia tidak mampu mengambil semula benda yang diambil oleh lalat daripadanya. Manusia kemudiannya mengetahui pada zaman ini mengenai kemampuan lalat menukarkan benda yang diambilnya dengan cepat kepada bahan yang lain. Hal ini merupakan keajaiban Al-Quran yang telah dapat terbongkar dengan kemajuan ilmu sains pada zaman ini."
Wallahu a'lam.

Siber Perpustakaan Tun Seri Lanang
UKM Bangi



















































No comments:
Post a Comment