Segala puji bagi Allah,tuhan sekalian alam.Selawat dan salam ke atas junjungan besar rasulullah s.a.w, ahli keluarga baginda,para sahabat baginda,tabi'in serta golongan yang sentiasa teguh dalam perjuangan islam sehingga ke hari kiamat.

Islam adalah agama yang syumul lagi sempurna. Ia adalah ad-din yang menjadi suatu sistem hidup manusia yang tidak akan merugikan sesiapa pun. Selain daripada memelihara dan memperjuangkan Islam yang syumul lagi sempurna ini, sesebuah jema'ah dan gerakan islam juga mestilah berusaha mengemukakan Islam di tengah-tengah masyarakat melalui kegiatan ilmiah dan 'aqliyyah di samping kegiatan-kegiatan lain yang sewajarnya digerakkan oleh gerakan Islam. Pertambahan kegiatan-kegiatan lain yang bercorak 'amali seperti ekonomi, sosial, politik dan pendidikan yang timbul dari kesediaan yang berteraskan kepada pemahaman yang islamik, adalah penting dan terus dijaga malahan dipertingkatkan dari masa ke semasa, namun kegiatan-kegiatan 'ilmiah dengan tujuan memberi kefahaman kepada ummah dalam memahami ruang lingkup islam, hukum-hakam, tuntutan serta perlaksanannya adalah lebih penting didahulukan dan diutamakan kerana keberkesanan gerakan Islam dalam membina masyarakat Islam dan kekuatannya adalah bergantung kepada kefahaman, keimanan dan keazaman yang terbina daripada majlis-majlis 'ilmu dan proses pentarbiyyahannya.
Kecintaan terhadap Islam yang timbul daripada ilmu dan kefahaman adalah lebih bermakna dan utama dari semangat yang berkobar-kobar tanpa ilmu, kefahaman dan proses tarbiyyah yang tersusun. Inilah bentuk kegiatan amal Rasulullah s.a.w dan para sahabat baginda untuk menghadapi masyarakat jahiliyyah dalam usaha membersih jiwa dan pemikiran mereka. Allah s.w.t berfirman:
"Dia lah yang telah mengutuskan dalam kalangan orang-orang (Arab) yang Ummiyyin, seorang Rasul (Nabi Muhammad s.a.w) dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya), dan membersihkan mereka (dari iktiqad yang sesat), serta mengajarkan mereka Kitab Allah (Al-Quran) dan Hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum syarak). Dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata."(Al-Jumu'ah:2)
Di sini,saya ingin mengingatkan diri saya sendiri bahawa apabila kita berada dalam sesebuah jema'ah yang memperjuangkan kebenaran Islam, kita perlu mempertingkatkan kekuatan ruhiyyah kita dalam menempuh ujian-ujian dan liku-liku perjalanan yang panjang. Ia tidak akan dapat berjalan dan bertahan lama dengan orang-orang yang hanya mempunyai semangat semata-mata tanpa sebarang pedoman dan bimbingan. Sebenarnya, semangat dan keberanian adalah sesuatu yang penting dalam perjuangan, namun semangat yang tidak diisi dengan keimanan, ilmu dan 'amal, ia adalah mudah luntur apabila dihadapkan dengan ujian-ujian dan fitnah.
Asas-asas kefahaman, keimanan, akhlaq dan pembersihan jiwa ini, telah dibina dengan begitu teliti oleh Rasulullah s.a.w di kalangan para sahabat baginda. Kekuatan perjuangan sebenarnya dibina di atas beberapa asas yang penting, yang diutamakan ialah iman,ilmu dan amal. Iman memelihara cita-cita dan keazaman, manakala ilmu dan kefahaman pula menjadi petunjuk dan penyuluh jalan bagaimana sesuatu kewajipan dan amanah perjuangan ini dilaksanakan. Dalam urusan yang penting ini, Allah s.w.t mengingatkan:
"Dan tidaklah (betul dan elok) orang-orang yang beriman keluar semuanya (pergi berperang); oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam ugama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah."(at-taubah:122)
Semoga coretan pada kali bermanfaat untuk diri saya yang dhoif dan kepada anda semua. Maafkan di atas keterlanjuran kata dan kegelinciran tulisan saya pada kali ini.
Wallahu 'alam.
Ibn Barudin
PTSL UKM Bangi



















































No comments:
Post a Comment