AL-QURAN telah menjelaskan bahawa pada hari kiamat kelak, Allah swt akan mengumpulkan kembali segala tulang belulang manusia dari mana sahaja ia berada walaupun tulang itu telah menjadi atom-atom atau habuk yang halus.
Untuk menjawab keraguan kafir Quraisy samada Allah swt berkuasa untuk menghidupkan semula seluruh umat manusia selepas mereka menjadi habuk, Allah swt berfirman dalam surah al-Qiyamah ayat 3-4 : ‘Apakah manusia (yang kafir) menyangka bahawa Kami tidak akan dapat mengumpulkan (mengembalikan) tulang belulangnya (dan menghidupkannya semula)? Bukan sebagaimana yang disangkakan itu, bahkan Kami berkuasa menyusun (dengan sempurnanya segala tulang) jari jemarinya, (tulang yang lebih halus dari yang lainnya).
Ayat tersebut di atas menegaskan bahawa bukan sahaja Allah swt berkuasa untuk mengumpulkan tulang belulang umat manusia, bahkan lebih dari itu. Iaitu Allah swt berkuasa untuk membuat semula hujung-hujung jari mereka siap dengan kulitnya seperti sediakala.
Dalam bidang pengawalan dan pembasmian jenayah menurut kaedah sains dan teknologi perubatan Forensik (Forensic Medicine), cara terbaik mengenalpasti individu adalah melalui rekabentuk zahir dan rakaman cap jejari khasnya cap ibu jari manusia. Telah didapati dalam abad ke-20 ini bahawa rakaman dan garis halus berjalur bulatan pada cap hujung jejari individu khasnya cap ibu jari adalah berlainan antara satu individu dengan individu yang lain.
Cara al-Quran menekankan penegasan bahawa Allah swt berkuasa untuk mencipta semula hujung jejari manusia adalah satu ibarat yang mempunyai kaitan yang sangat erat dan tepat serta berasaskan sains, kerana al-Quran tidak mengatakan : ‘Kami (Allah) berkuasa menyusun semula wajahnya atau bentuk badannya.’ Ini kerana wajah manusia dan anggota badan selain dari cap ibu jarinya boleh berubah-ubah dan mempunyai masalah-masalah tertentu untuk mengenal pasti individu itu. Pada masa ayat ini diturunkan di kota suci Makkah, masyarakat Arab Makkah dan umat manusia yang lain tidak mengetahui bahawa cap jari manusia boleh digunakan untuk mengenalpasti individu, hinggalah ilmu ini ditemui pada abad ke-20 melalui penyelidikan forensik. Siapakah yang telah menurunkan kepada nabi Muhammad saw ayat-ayat yang berbentuk ilmu saintifik dan mengandungi rahsia-rahsia ilmu yang cukup mengkagumkan ahli-ahli sains di zaman ini? Sudah tentu, tidak lain dan tidak bukan, ALLAH SWT.



















































No comments:
Post a Comment